Ahad, 26 Jun 2022 | 8:04pm
DJ Wong dan DJ Sal.
DJ Wong dan DJ Sal.

Pihak berkuasa agama perlu panggil pasangan DJ Sal dan DJ Wong

ALOR SETAR: Pihak berkuasa agama negeri diminta memanggil pasangan DJ Wong dan DJ Sal yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kembali tinggal bersama, walaupun berlaku perceraian antara mereka pada April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pasangan terbabit mungkin menganggap perceraian sebagai perkara biasa berikutan kurang memahami hukum Islam.

"Kita hendak kata dia permain agama tak boleh juga kerana mungkin sebab kejahilan mereka anggap benda itu (perceraian) mainan biasa, anggap boleh rujuk begitu sahaja.

"Disebabkan itu pihak berkuasa agama perlu panggil mereka kerana ini membabitkan soal nasab dan keturunan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Kedah di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Minggu lalu, pasangan yang memiliki lebih 100,000 pengikut di laman sosial itu membuat kejutan apabila DJ Sal, 47, mendakwa sudah merujuk isu yang timbul kepada ahli keluarga dan bijak pandai agama yang memaklumkan apa dilafazkan suaminya, DJ Wong atau Noor Aziz Johari, 53, sebelum itu sebagai tidak sah.

DJ Sal turut mendakwa, ketika kejadian, dia sedang uzur selain suaminya dikatakan berada dalam keadaan tidak waras sehingga memaksa dia melafazkan cerai secara siaran langsung di media sosial.

Mengulas lanjut, Idris turut meminta orang ramai yang bimbang perkara tidak elok berlaku kepada pasangan terbabit membuat laporan kepada pihak berkuasa agama.

"Jika berlaku perkara sebegini, orang ramai boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. Apabila ada laporan maka kita boleh ambil tindakan kerana ada ketika pihak berkuasa tidak tahu mengenai sesuatu kes yang berlaku.

"Di daerah kita hanya mempunyai seorang kadi sahaja, kita tidak mahu terlepas pandang dan jika kita tahu memang pihak berkuasa agama siasat segera," katanya.

Berita Harian X