Ahad, 26 Jun 2022 | 11:53am
Enam saintis muda negara yang diberi pengiktirafan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman, bermula hari ini hingga 1 Julai. - Foto ASM
Enam saintis muda negara yang diberi pengiktirafan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman, bermula hari ini hingga 1 Julai. - Foto ASM

6 saintis muda wakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate

KUALA LUMPUR: Enam saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman, bermula hari ini hingga 1 Julai.

Mereka ialah Dr Enis Nadia Md Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman dan Dr Oh Wen Da dari Universiti Sains Malaysia (USM), selain Dr Sazlinda Kamaruzaman dari Universiti Putra Malaysi (UPM) dan Dr Low May Lee dari International Medical University Malaysia (IMU).

Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, berkata kumpulan itu akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia pada mesyuarat yang kini dilaksanakan secara fizikal selepas dilangsungkan secara dalam talian pada 2021.

"Malaysia menerusi ASM menghantar 81 saintis muda mengambil bahagian pada mesyuarat itu sejak 2004. Mesyuarat berkenaan platform terbaik kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik negara bagi membina jaringan dengan saintis terbaik di peringkat antarabangsa.

"Selain dapat bertemu penerima Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini memperkenalkan penyelidikan saintis muda kita kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat Nobel ke-71 tahun ini didedikasikan untuk bidang kimia dan dianggarkan sejumlah 35 pemenang Anugerah Nobel akan menyertainya dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.

Pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel itu dibuka kepada semua saintis muda institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh ASM, iaitu agensi seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. - BERNAMA

Berita Harian X