Ahad, 26 Jun 2022 | 11:52am
Foto hiasan / FAIL NSTP
Foto hiasan / FAIL NSTP

'Pengguguran Tajuddin wujudkan tanggapan UMNO berpecah'

KUALA LUMPUR: Pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menguatkan persepsi wujud perpecahan dalam UMNO.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata pergolakan kepemimpinan dalam UMNO ketika ini secara tidak langsung membuktikan wujudnya dua kem dominan ingin menguasai parti itu.

"Perpecahan dijangka bertambah seperti diungkapkan Tan Sri Annuar Musa (Ketua UMNO Bahagian Ketereh) bahawa akan ada pemimpin lain bakal disingkirkan susulan pemecatan Tajuddin.

"Ini menunjukkan kumpulan Putrajaya menentang secara terbuka tindakan Presiden, maka kumpulan Putrajaya ini berisiko untuk dipecat daripada UMNO dalam tempoh terdekat," katanya kepada BH, semalam.

Mohammad Tawfik berkata, UMNO bakal berdepan kesukaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika gagal menangani perpecahan dalaman dengan segera.

Jika UMNO memasuki gelanggang pilihan raya dengan impian mahu menguasai semula kerajaan, katanya, parti itu perlu distabilkan semula.

"Secara realitinya, kita lihat dua kumpulan dominan ini bersaing antara satu sama lain untuk menjadi kekuatan besar menguasai UMNO," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berpandangan perpecahan dalam UMNO disebabkan sikap pemimpin parti itu yang mahu menjadi ketua.

Katanya, setiap pemimpin sama ada yang menjadi menteri atau sebaliknya perlu memiliki semangat kesetiaan kepada pimpinan parti.

"Masalah ini berlaku sebab masing-masing mahu menjadi ketua. Sepatutnya dalam UMNO ada lapisan kepemimpinan dan ia perlu dihormati.

"Setiap pemimpin perlu berjiwa besar. Seperti Tan Sri Annuar Musa, beliau juga seharusnya berjiwa besar. Katakanlah tiada lagi jawatan di pusat, seeloknya lepaskan jawatan menteri.

"Itu pun kalau benar beliau kata tidak memikirkan soal jawatan atau kuasa, jadi lepaskan jawatan yang disandang itu," katanya.

Tajuddin digugurkan daripada ahli MKT UMNO menerusi surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 21 Jun lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sikap dan pendirian Tajuddin yang bercanggah dengan parti antara punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu digugurkan.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyifatkan tindakan menggugurkan ahli MKT sebelum tamat penggal perkhidmatan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, berpandangan pengguguran Tajuddin adalah usaha Ahmad Zahid menyelaras semula struktur MKT bagi berdepan PRU-15.

"Itu kuasa presiden kerana dari segi bacaan politik, sudah tentu Ahmad Zahid mahukan seseorang yang boleh menyumbang kepada keputusan parti.

"Itu yang membawa kepada pelantikan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil, menggantikan Tajuddin kerana beliau dilihat lebih terarah kepada Datuk Seri Najib Razak (bekas Perdana Menteri)," katanya.

Beliau berkata, tindakan Ahmad Zahid juga menunjukkan ketelusan UMNO bagi mengelak konflik kepentingan apabila Tajuddin dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Apabila Tajuddin dilantik menjadi duta, katanya, beliau akan berada di negara penempatan sehingga menyukarkan tugasnya dalam MKT.

"Tiada keperluan untuk beliau berada dalam MKT sebab jika pada masa sama menjadi duta, beliau membawa nama parti, maka tak berapa bagus untuk imej Malaysia secara diplomatik," katanya.

Sementara itu, Annuar menyifatkan tindakan menggugurkan ahli MKT UMNO sebelum tamat penggal perkhidmatan hanya membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang digugurkan sebagai Setiausaha Agung BN pada Januari tahun lalu, berkata tindakan ini juga bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan PAU Khas sebelum ini.

"Meskipun ada peruntukan bagi presiden memecat ahli MKT dilantik, tindakan itu tidak membawa kebaikan, malah jarang dilakukan.

"Di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, ada menteri, timbalan menteri dan (ahli) MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden.

"Namun kali ini pemecatan demi pemecatan berlaku," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, semalam.

Annuar mendakwa, ada beberapa nama lagi bakal dipecat sebagai ahli MKT, namun tidak memperincikannya.

Berita Harian X