Ahad, 26 Jun 2022 | 9:06am
Kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak, berjaya ditarik keluar dari dasar sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak, berjaya ditarik keluar dari dasar sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

Polis kesan saksi nahas kereta terjunam ke sungai

BALING: Polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan tiga beranak apabila kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu terjunam ke sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata hasil siasatan awal mendapati nahas itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah Kuala Ketil menghala ke Sungai Petani.

Beliau berkata, setiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan ke kiri jalan dan terbabas lalu terjatuh ke Sungai Muda di sempadan Baling dan Sungai Petani.

"Kesemua mangsa ditemukan di dalam kereta yang tenggelam di sungai berkenaan. Mereka dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, mangsa yang maut disahkan sebagai Masyitoh Ibrahim, 37, yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Selarong, bersama dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5.

Beliau memaklumkan, kedua-dua kanak-kanak itu adalah murid prasekolah dan Tahun Satu di sekolah sama.

"Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat yang akan dilakukan selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh. Kereta berkenaan pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Polis juga sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X