Ahad, 26 Jun 2022 | 12:18am
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

WARISAN sedia jalin kerjasama dengan gabungan politik yang menang PRU-15

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, ini kerana pihak yang menang pada PRU-15 adalah parti pilihan rakyat, justeru Warisan menghormati keputusan itu dengan menjalin kerjasama menguntungkan kepada rakyat di peringkat Persekutuan dan Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan persefahaman yang dibentuk itu mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan paling penting, meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

"Sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan (menang PRU-15), bila rakyat sudah buat keputusan, kita kena hormat... kita tidak boleh menafikan hak rakyat di negara ini tetapi saya tolak Langkah Sheraton, lompat sana lompat sini kerana itu bukan mandat yang diberikan rakyat.

"Selepas pilihan raya, rakyat putuskan… nakkan kestabilan politik tetapi mesti ada kerjasama pintar," katanya menerusi sesi perkongsian secara langsung dalam talian di laman Facebook malam ini.

Mohd Shafie menjawab soalan seorang peserta sesi itu yang ingin tahu sama ada Warisan mahu bekerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan sekiranya gabungan politik itu memenangi PRU-15 dalam sesi perkongsian bertajuk Gabungan dan Pakatan: Demi Rakyat atau Demi Poket.

Beliau turut menegaskan langkah Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak akan mengganggu-gugat perjuangan asal parti itu untuk membela rakyat dan negeri Sabah.

"Kita mesti bergabung dengan seluruh Malaysia… Presidennya (Warisan) dari Sabah tetapi isterinya orang Kedah.

"Kita sedang membina sebuah negara... sudah berpuluh tahun gabungan politik berpecah-pecah, mungkin perlukan angin dari timur (untuk satukan)," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X