Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:54pm
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.
Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Kerajaan perlu beri sokongan angkat AKF

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi sokongan kepada organisasi dalam mengangkat dan mengekalkan aturan kerja fleksibel (AKF).

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata setiap organisasi mempunyai struktur serta pengeluaran yang unik dan berbeza.

Oleh itu, katanya, perbezaan itu perlu difahami, sebelum sebarang perubahan dilakukan terhadap sistem kerja sedia ada.

"Antara sokongan yang perlu diberikan adalah menyediakan garis panduan yang jelas berhubung hak dan kewajipan organisasi, mengadakan program kesedaran mengenai AKF dan menawarkan fleksibiliti serta melonggarkan beberapa peraturan yang bersesuaian.

"Kerajaan juga perlu mengkaji semula peraturan dalam Akta Pekerja 1955 yang bersesuaian untuk menampung peruntukan AKF seperi Seksyen 60a membabitkan terma dan syarat waktu bekerja, cuti, tempoh rehat, gaji, kerja lebih masa bagi melengkapkan model AKF," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Hussain berkata, kerajaan juga perlu melengkapkan jabatan sumber manusia dan ketua bahagian dengan pengetahuan bagi menghasilkan polisi AKF yang mentakrifkan kelayakan, jangkaan dan tanggungjawab.

"Antara cabaran AKF adalah kurangnya komitmen daripada pengurusan tertinggi, selain kesukaran pihak pengurusan untuk menyesuaikan diri dengan model kerja baharu.

"Selain itu, maklumat dan data sulit mungkin dikompromi serta kesukaran dalam memupuk kepercayaan antara pihak pengurusan dan pekerja," katanya.

Katanya, kajian menunjukkan bahawa 92 peratus pekerja menyatakan bahawa mereka mahu aturan kerja dari rumah dibuat secara tetap.

"AKF sekiranya dilaksanakan dengan baik, boleh meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti pekerja," katanya.

Berita Harian X