Sabtu, 25 Jun 2022 | 10:35pm
Idris (dua dari kanan) menyambut ketibaan Sheikh Mohammad di LTSAAS, Subang, petang tadi. NSTP/Ihsan JAKIM
Idris (dua dari kanan) menyambut ketibaan Sheikh Mohammad di LTSAAS, Subang, petang tadi. NSTP/Ihsan JAKIM

Sheikh Mohammad tiba, sertai Southeast Asian Ulama Conference 2022

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, petang tadi, bagi menghadiri Southeast Asian Ulama Conference 2022.

Ketibaan beliau disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Hakimah berkata, kehadiran Sheikh Mohammad adalah bagi menghadiri persidangan itu yang akan berlangsung pada Khamis ini di Subang Jaya.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim itu akan berkongsi idea dan pandangan dalam memperkukuhkan keharmonian dan keamanan di rantau ini serta meningkatkan semangat toleransi Islam dalam kepelbagaian Keluarga Malaysia.

Katanya, persidangan anjuran Liga Dunia Muslim itu membabitkan penyertaan wakil dari 20 negara Asia Tenggara yang akan menekankan nilai kesederhanaan, pengukuhan nilai persahabatan dan nilai kerjasama dalam kalangan ummah.

"Persidangan ini turut menyebarkan kesedaran terhadap konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat secara keseluruhan," katanya melalui kenyataan malam ini.

Berita Harian X