Sabtu, 25 Jun 2022 | 8:04pm
KHAIRY (kiri) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) dan Tuanku Lailatul (kanan) bersama menunjukkan simbolik logo pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat
KHAIRY (kiri) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) dan Tuanku Lailatul (kanan) bersama menunjukkan simbolik logo pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat

'Waspada gelombang baharu COVID-19'

KANGAR: Gelombang baharu penularan jangkitan COVID-19 yang bakal berlaku lebih awal daripada jangkaan dua hingga tiga bulan akan datang, dijangka tidak mendatangkan kesan yang besar seperti fasa pandemik terdahulu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata walaupun penularan pandemik secara keseluruhannya di negara ini didapati meningkat melebihi 2,000 kes pada minggu lalu, bagaimanapun kesannya tidak begitu serius.

"Walaupun kes meningkat tetapi kesannya tidak serius sangat, maksudnya jumlah yang terpaksa masuk ke hospital atau Unit Rawatan Rapi dan jumlah kematian masih lagi pada paras yang rendah.

"Ini maksudnya kita nak kena 'hidup' dengan COVID-19 dan di sini walaupun gelombang (COVID-19) itu datang tetapi kesannya bukan macam dahulu, jika dahulu gelombang datang, ramai masuk hospital, namun sekarang ini 96 peratus mereka yang positif hanya perlu duduk di rumah sahaja dan dalam dua hingga ketiga hari kemudian mereka sembuh," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Exco Kesihatan, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Perlis, Teh Chai Aan, yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim.

Khairy berkata, KKM menggalakkan suntikan dos ketiga vaksin atau dos penggalak dapat dilaksanakan secara aktif ke atas warga emas sebagai perlindungan dalam menghadapi ancaman penularan gelombang baharu nanti.

"Di peringkat kebangsaan, hampir 70 peratus atau lebih spesifik 68 peratus dalam kalangan populasi dewasa sudah mendapatkan dos penggalak COVID-19, namun di Perlis pula, hanya 43 peratus sahaja dalam populasi ini menerima suntikan sama.

"Saya risau jika gelombang baharu ini datang, bagi mereka yang berusia 60 tahun ke bawah ini, jangkitan ini mungkin akan sekadar menjadi selsema biasa disebabkan sudah ada vaksin, namun bagi warga emas pula, ia memang berisiko sebab mereka punya tahap imuniti sudah rendah," katanya.

Beliau memohon kepada warga emas yang berada dalam kelompok berisiko ini supaya segera mendapatkan suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 sebelum berlakunya gelombang baharu penularan pandemik di negara ini.

Berita Harian X