Jumaat, 24 Jun 2022 | 10:24pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Pemansuhan subsidi minyak langkah pastikan lebih banyak bantuan bersasar - Pakar

KUALA LUMPUR: Pemansuhan subsidi minyak masak sawit kemasan botol 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg yang diputuskan kerajaan dilihat sebagai langkah untuk memastikan lebih banyak bantuan secara terus dan bersasar dapat diberikan kepada golongan yang layak menerimanya.

Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Afzanizam Abdul Rashid, berkata keputusan kerajaan itu, termasuklah keputusan mengekalkan subsidi minyak masak sawit dalam bungkusan plastik, dapat memberi manfaat kepada golongan rentan seperti B40 dalam memperoleh barangan keperluan bersubsidi yang disediakan kerajaan.

"Kerajaan dalam masa sama turut mengumumkan dana tambahan RM630 juta kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan memanfaatkan seramai 8.6 juta rakyat di negara ini. Jadi, bantuan ini mampu mengurangkan sebahagian beban dalam membeli barangan keperluan bulanan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Namun, katanya, penerima bantuan itu perlu bijak dalam merancang perbelanjaan wang tersebut agar mereka memperoleh manfaat daripada objektif pemberian itu.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak kemasan botol antara lain adalah langkah untuk menghapuskan penyelewengan dan penyeludupan minyak masak terbabit.

"Kerajaan hapuskan subsidi itu kerana minyak masak botol itu mudah untuk orang menyeludup dan diseleweng kepada pihak tertentu kerana kuantitinya besar dan kemasannya yang tahan lasak berbanding minyak sawit plastik kuantiti yang kecil dan mudah pecah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan harus peka mengenai jaminan bekalan minyak masak plastik sebanyak 60,000 tan metrik sebulan dan dapat dijual oleh peniaga kepada pengguna.

"Pengguna harus memainkan peranan dalam melaporkan kepada pihak berwajib jika terdapat kedai yang sentiasa tiada stok minyak masak manakala peniaga perlu berintegriti dalam menjual produk terbabit kepada golongan B40," katanya.

Ditanya mengenai mekanisme yang berkesan untuk menyalurkan bantuan tersebut, Ahmed Razman menyarankan bantuan berkenaan disalurkan dalam bentuk e-baucar seiring era modenisasi dan transaksi yang dilakukan lebih telus.

"Apabila kita nak pastikan bantuan dan subsidi itu sampai kepada rakyat, penggunaan teknologi sedia ada boleh membantu. Sebagai contoh, kita ada aplikasi MySejahtera dan dulu kerajaan memperkenalkan baucar buku 1Malaysia yakni baucar itu boleh beli buku saja.

"Jadi mungkin kita boleh gabungkan mekanisme ini untuk mengesan dan memberi bantuan dengan lebih bersasar dan apabila mereka pergi ke kedai mereka boleh beli minyak sawit dalam paket atau barang keperluan yang lain," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X