Jumaat, 24 Jun 2022 | 4:01pm
Loy Sian (kiri) melakukan tinjauan di sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, yang disyaki punca berlaku pencemaran bau sehingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, semalam. - NSTP/AZHAR RAMLI
Loy Sian (kiri) melakukan tinjauan di sebuah kilang memproses kelapa sawit di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, yang disyaki punca berlaku pencemaran bau sehingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, semalam. - NSTP/AZHAR RAMLI

Kilang proses sawit dikenakan kompaun serta-merta - JAS

SHAH ALAM: Tindakan kompaun serta-merta sudah diambil terhadap kilang memproses kelapa sawit di Jalan Rinching Hulu, Semenyih, yang disyaki punca berlaku pencemaran bau sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas, semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata pihaknya mengeluarkan kompaun selepas premis terbabit gagal memaklumkan kepada jabatan itu mengenai insiden limpahan pada 'sump' dalam tempoh enam jam daripada masa kejadian.

"Tindakan kompaun serta-merta sudah diambil mengikut Peraturan 20(1) Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Pihak JAS juga sedang melengkapkan siasatan sama ada wujud unsur kecuaian pada pihak kilang dalam kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan di kilang yang menyebabkan limpahan itu berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, jabatan berkenaan juga mengarahkan pemilik premis terbabit agar melaksanakan tindakan pembaikan dengan segera.

"JAS memberi tempoh lima hari kepada pemilik untuk melaksanakan kerja pembaikan. Jika mereka gagal melaksanakan tindakan seperti yang diarahkan, pihak kilang boleh dikenakan tindakan mahkamah mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sisa daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit dipercayai menjadi punca berlaku pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada jam 10.15 pagi hingga 12.45 tengah hari semalam kerana berlaku pencemaran di Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, dipetik berkata susulan kejadian itu, tugas merawat air di LRA Sungai Semenyih terganggu kira-kira dua jam setengah sebelum operasi dan bekalan air disambung semula pada jam 1.45 tengah hari.

Bagaimanapun, Loy Sian berkata, pencemaran yang berlaku kali ini tidak masuk ke muka sauk LRA dan keadaan itu berjaya dikawal dalam tempoh tidak melebihi empat jam.

Justeru, katanya, ia tidak memberi impak ke atas bekalan air kepada pengguna, dan hanya mengakibatkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sementara.

Berita Harian X