Jumaat, 24 Jun 2022 | 2:37pm
Tempoh bekerja perlu dipanjangkan jika waktu kerja 4 hari seminggu dilaksanakan. - Foto hiasan
Tempoh bekerja perlu dipanjangkan jika waktu kerja 4 hari seminggu dilaksanakan. - Foto hiasan

Kerja 12 jam sehari jika 4 hari bekerja

KUALA LUMPUR: Tempoh bekerja bagi pekerja negara ini mungkin perlu dipanjangkan sehingga 12 jam sehari sekiranya Malaysia melaksanakan dasar empat hari bekerja dalam seminggu.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata tempoh itu perlu dipanjangkan bagi memenuhi keperluan waktu bekerja selama 45 jam seminggu seperti diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955.

Beliau juga berpandangan, pelaksanaan dasar empat hari bekerja seminggu mungkin kurang praktikal memandangkan tempoh bekerja lebih panjang dalam sehari berisiko menjejaskan produktiviti pekerja.

"Pindaan Akta Kerja 1955 yang memendekkan tempoh bekerja seminggu daripada 48 jam kepada 45 jam akan mula berkuat kuasa September depan.

"Ini bermakna jika kita melaksanakan dasar empat hari bekerja seminggu, waktu bekerja perlu dipanjangkan kepada 11 jam setengah hingga 12 jam tidak termasuk kerja lebih masa bagi memenuhi tempoh kerja 45 jam seminggu.

"Persoalannya, jika waktu bekerja harian dipanjangkan sehingga 12 jam, adakah kita boleh meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja? Saya berpandangan ia akan menurun. Kerajaan, majikan dan kumpulan pekerja perlu berbincang dan menjalankan kajian terperinci jika mahu melaksanakan dasar ini," katanya kepada BH semalam.

Mohd Effendy Abdul Ghani.
Mohd Effendy Abdul Ghani.

Selasa lalu, media melaporkan kaji selidik oleh syarikat Qualtrics mendapati 62 peratus pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.

Kebanyakan responden percaya, bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86 peratus), kesejahteraan mental (82 peratus) dan produktiviti (83 peratus) selain membuatkan mereka rasa lebih setia kepada majikan.

Namun, pakar ekonomi berpandangan Malaysia belum bersedia melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari seminggu seperti yang mula dilaksanakan di beberapa negara maju berikutan faktor produktiviti yang rendah serta struktur ekonomi yang berteraskan buruh.

Mohd Effendy berkata, pihaknya berpendirian pelaksanaan dasar seumpamanya bergantung kepada keperluan industri memandangkan tidak semua industri dan pekerjaan sesuai melaksanakan dasar bekerja empat hari seminggu.

"Sebarang kajian mengenai dasar itu tidak wajar membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara Eropah kerana peraturan tempoh maksimum bekerja dalam seminggu yang berbeza.

"Negara Eropah menetapkan tempoh bekerja antara 35 hingga 40 jam seminggu, sedangkan kita baru memendekkannya kepada 45 jam seminggu, jadi pelaksanaan dasar empat hari bekerja di Eropah tidak sama dengan Malaysia," katanya.

Mengenai saranan supaya majikan melaksanakan waktu bekerja anjal atau dasar bekerja secara hibrid iaitu bergilir antara Bekerja Dari Rumah (BDR) dan pejabat, Mohd Effendy berpandangan ia wajar dilaksanakan menerusi perbincangan antara pekerja dan majikan.

"Ada industri yang boleh bekerja secara hibrid, namun ada yang memang tidak boleh langsung BDR. Kerja pentadbiran mungkin sesuai berbanding yang bekerja di lapangan.

Berita Harian X