Jumaat, 24 Jun 2022 | 12:45pm
Fatihah menyusun minyak masak peket di kedainya di pekan Masjid Tanah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR
Fatihah menyusun minyak masak peket di kedainya di pekan Masjid Tanah, hari ini. - NSTP/HASSAN OMAR

Pelanggan sanggup datang berkumpulan kumpul minyak masak paket

MASJID TANAH: Pelbagai taktik digunakan pengguna demi mendapatkan stok minyak masak paket subsidi termasuk sanggup datang secara berkumpulan untuk membeli barangan kawalan itu secara berjemaah.

Taktik itu digunakan susulan tindakan pemilik kedai menetapkan pembelian maksimum dua paket minyak masak subsidi untuk setiap pelanggan, bagi mengelak stok terbabit diseleweng.

Seorang peniaga, Fatihah Amirullah, 26, mengakui sudah lali dengan taktik sebegitu, namun tidak banyak yang dapat dilakukan kerana pelanggan seringkali menafikan hadir secara berkumpulan untuk mendapatkan stok minyak masak yang lebih.

"Ada yang datang secara berkumpulan dan masuk ke kedai seorang demi seorang semata-mata untuk mendapatkan dua paket minyak masak bersubsidi setiap seorang.

"Walaupun berjaya dikesan, peniaga tidak mampu menafikan hak pelanggan yang hadir bersendirian untuk mendapatkan barangan itu kerana jika ditanya, pelanggan segera menafikan hadir secara berkumpulan," katanya.

Fatihah berkata, dia terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak itu hanya dua paket bagi setiap pelanggan untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan mendapatkan stok subsidi terutama apabila harga minyak masak botol semakin meningkat.

Jika pelanggan membeli pelbagai barangan lain, katanya mereka diberi peluang mendapatkan tiga minyak masak berpaket.

"Ada juga pelanggan berhati mulia mendapatkan hanya dua paket minyak masak seperti ditetapkan dengan alasan tidak mahu mencuri hak orang lain berikutan kesukaran untuk mendapatkan minyak masak sekarang.

"Minyak masak paket laris bagaikan pisang goreng panas dan lazimnya kebanyakan pelanggan adalah peniaga makanan yang amat memerlukannya," katanya.

Mengenai penjualan minyak masak botol, Fatihah berkata, setakat ini belum ada pelanggan mendapatkannya dalam jumlah yang banyak meskipun menyedari subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) akan dimansuhkan mulai 1 Julai ini.

Kelmarin, Perdana Menteri memaklumkan subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini.

Beliau menjelaskan, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg membabitkan peruntukkan berjumlah RM55 juta sebulan.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan mengumumkan, subsidi minyak masak tulen botol akan dimansuhkan mulai tarikh berkenaan bagi memastikan bekalan bahan makanan itu dalam pasaran lebih stabil dalam jangka panjang, selain bertujuan menstabilkan harga.

Berita Harian X