Khamis, 23 Jun 2022 | 8:20pm
Abd Rahman (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli PPK Sungai Besar pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Sungai Besar Kali ke-41 hari ini. NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Abd Rahman (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli PPK Sungai Besar pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Sungai Besar Kali ke-41 hari ini. NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

NAFAS mohon RM700 juta daripada kerajaan bantu atasi masalah ayam

SUNGAI BESAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memohon peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM700 juta bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya rantaian industri ayam.

Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Dr Abd Rahman Bakri, berkata menerusi peruntukan itu pelan perancangan NAFAS yang berskala besar dijamin dapat menstabilkan semula isu kekurangan bekalan serta harga pasaran ayam.

"Ketika ini, NAFAS mempunyai enam ladang ayam yang menghasilkan 278,500 ekor ayam bagi satu pusingan.

"NAFAS juga ada ladang kontrak yang terletak di Rengit Johor; Alor Gajah Melaka; Beruas dan Padang Rengas di Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Baling, Kedah," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Kali ke-41 di Dewan Terbuka Dataran PPK Sungai Besar, di sini, hari ini.

Abd Rahman berkata, rantaian industri ternakan ayam itu bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, reban dan pusat pemprosesan, selain bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran serta pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

"NAFAS juga terbabit dalam industri penanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

"Kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini digunakan sebagai tanaman tembakau dikenal pasti untuk digunakan semula sebagai tanaman jagung bijian," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap usaha itu dapat membantu kerajaan memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil.

"Krisis bekalan dan kenaikan harga ayam sering berlaku di negara ini.

"Kita harap usaha ini dapat mengurangkan keresahan rakyat, lebih-lebih lagi membabitkan isu sekuriti makanan," katanya.

Berita Harian X