Khamis, 23 Jun 2022 | 7:47pm

KKM jangka gelombang baharu COVID-19 lebih awal

REMBAU: Gelombang baharu COVID-19 di negara ini berkemungkinan berlaku lebih awal berbanding tempoh antara dua atau tiga bulan lagi seperti diumumkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya tidak bertujuan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat, sebaliknya ia mengambil kira langkah pencegahan yang perlu diambil meliputi setiap aspek oleh semua pihak.

Katanya, gelombang kedua adalah berdasarkan peningkatan kepada lebih 2,000 kes dilaporkan dalam negara sejak tiga hari kebelakangan ini, dengan dua kluster baharu yang membimbangkan iaitu kluster pendidikan dan pengajian tinggi.

"Hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes kecuali beberapa negeri seperti Selangor, Johor, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan, menunjukkan penurunan.

"Pengalaman yang kita lihat di negara lain di mana mereka juga berdepan gelombang jangkitan dari semasa ke semasa.

"Tujuan saya menyatakan ini adalah untuk memberi bayangan bahawa saya rasa gelombang itu akan datang lebih awal berdasarkan kepada ramalan yang kita sedang buat, walaupun kadar kematian, kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini terkawal atau pada paras rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perkhidmatan Otorinolaringologi (ORL) dan Makmal Tidur (SL) Kluster Negeri Sembilan di Hospital Rembau di sini, petang tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Zamzuri Abdul Aziz; Ketua Perkhidmatan ORL Kebangsaan, Datuk Dr Siti Sabzah Mohd Hashim dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Datuk Dr Harlina Abdul Rashid.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa mengikuti perkembangan di negara jiran, khususnya Singapura susulan pembukaan sempadan negara, baru-baru ini yang menyaksikan rakyat bebas keluar dan masuk antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan Singapura juga ada memaklumkan bahawa varian Omicron BA.4 dan varian BA.5 di Singapura mencatatkan 30 peratus daripada keseluruhan kes dan kebolehjangkitan tinggi berbanding varian BA.2 di Malaysia.

"Kesan varian berkenaan adalah sama dengan yang asal iaitu kadar kebolehjangkitan tinggi dan ini sesuatu yang mungkin menyebabkan kes meningkat, namun masih terkawal.

"Ini adalah mesej kepada rakyat bahawa COVID-19 ini sudah bersama kita yang perlu kita lalui dan sebab itu langkah pencegahan terus dilakukan seperti memakai pelitup muka," katanya.

Katanya, golongan warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik perlu segera mendapatkan suntikan dos penggalak kedua bagi melindungi diri daripada kesan sampingan yang buruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) melawat wad proses endoskop selepas merasmikan makmal "Sleep Lab" dan Klinik Pakar Hospital Rembau, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) melawat wad proses endoskop selepas merasmikan makmal "Sleep Lab" dan Klinik Pakar Hospital Rembau, hari ini. - Foto Bernama
Berita Harian X