Khamis, 23 Jun 2022 | 7:19pm
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun M nafi desak tuntut Singapura, Kepulauan Riau

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau mendesak Malaysia menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau, malah menyifatkan laporan mengenainya yang disiarkan media sebagai tidak tepat.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan dibuat beliau ketika berucap dalam sebuah kongres pada Ahad lalu bertujuan menyatakan kebimbangan rakyat mengenai pengambilan wilayah itu yang saiznya lebih besar berbanding Pulau Batu Puteh.

"Saya cuba membangkitkan bahawa kita begitu bimbang dengan kehilangan batu sebesar meja, tetapi tidak pernah (bimbang) mengenai bahagian lebih besar di Malaysia apabila ia diambil daripada kita.

"Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Ia kesilapan kerajaan Johor menafikan bahawa batu itu adalah milik Johor. Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang," katanya melalui Twitter semalam.

Ciapan itu merujuk kenyataan Kementerian Luar Indonesia yang menyifatkan kenyataan Dr Mahathir ketika majlis Ahad lalu itu, bahawa Kepulauan Riau sepatutnya menjadi sebahagian Malaysia, tidak mempunyai asas undang-undang.

Dr Mahathir dilapor berkata, bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan, sebaliknya mencadang supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura.

Jurucakap kementerian itu, Teuku Faizasyah, berkata bekas Perdana Menteri itu juga tidak memiliki alasan jelas kerana Kepulauan Riau diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata rakyat negara ini seharusnya bersyukur kerana mahkamah dunia menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada Malaysia.

"Kedua-duanya jauh lebih berharga daripada Pulau Batu Puteh – hanya singkapan batu. Kita patut bersyukur kerana Indonesia tidak mempertikaikan anugerah itu," katanya.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

Selain itu, hak milik Tubir Selatan yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Sebelum ini juga, dilaporkan Malaysia sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri ketujuh itu membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata Dr Mahathir membuat keputusan itu, beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018.

Berita Harian X