Khamis, 23 Jun 2022 | 7:37am

Satelit MEASAT-3d dilancar ke orbit

KUALA LUMPUR: Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, pada jam 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi waktu Malaysia).

Siaran langsung pelancaran itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut hadir Pengerusi Astro Malaysia Holdings Bhd Tunku Ali Redhaudin Tuanku Mukhriz dan Pengarah Measat Global Shaharul Rezza Hassan.

Satelit MEASAT-3d seberat 5,600 kilogram dibawa ke orbit menggunakan roket Ariane-5 ECA dan berjaya melalui proses pemisahan pada jam 6.19 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran MEASAT-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC-KL) hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. - Foto BERNAMA

Isyarat telemetri pertama MEASAT-3d pula diterima pada jam 6.41 pagi sekali gus menjadi penanda ia beroperasi dengan baik.

Pelancaran MEASAT-3d dijayakan dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek mengetuai delegasi Malaysia ke tapak pelancaran roket itu.

Beliau turut disertai Duta Besar Malaysia di Perancis Datuk Mohd Zamruni Khalid, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan, wakil Kementerian Pertahanan Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin dan Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim.

Satelit yang dianggar membabitkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Satelit MEASAT-3d berukuran 31 meter (m) x 9m x 5m seberat 5,600 kilogram itu dilancarkan bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau serta beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.

Satelit itu adalah jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO yang dibina oleh Airbus Defence and Space mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.

Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, pada jam 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi waktu Malaysia). - Foto AFP
Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari European Spaceport di Kourou, French Guiana, pada jam 6.50 petang waktu tempatan (jam 5.50 pagi waktu Malaysia). - Foto AFP
Berita Harian X