X
Rabu, 22 Jun 2022 | 5:59pm
Penguat kuasa KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, di sini, dipercayai terbabit dengan kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi. - Foto KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, di sini, dipercayai terbabit dengan kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi. - Foto KPDNHEP

Stor haram kegiatan seleweng diesel bersubsidi diserbu

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menyerbu sebuah stor haram yang dijadikan tempat kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi, di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, di sini, tengahari tadi.

Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Abd Muis Samsudin, berkata serbuan pada jam 1.45 tengahari oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan selepas membuat risikan di lokasi selama satu minggu.

"Ketika serbuan dilakukan, anggota pasukan penguat kuasa mendapati terdapat sebuah lori satu tan yang bertutup kanvas dalam keadaan yang mencurigakan dan terdapat aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada bahagian muatan lori menggunakan hos ke dalam tangki petak (square tank) sebagai tempat simpanan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua tangki petak yang diubahsuai di atas lori berkenaan manakala terdapat lima lagi tangki petak berisi penuh dengan minyak diesel di stor berkenaan.

"Semakan awal juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Abd Muis berkata, sebanyak 4,500 liter minyak diesel, sebuah lori satu tan yang diubahsuai, tangki petak dan peralatan digunakan untuk kerja pemindahan diesel terbabit disita bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM32,675.

Katanya, menerusi maklumat risikan yang telah dijalankan mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori berkenaan dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran serbuan.

"Maklumat awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar dua bulan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan," katanya.

Abd Muis juga berkata, KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus menjalankan pemantauan dan tindakan terhadap penyelewengan minyak diesel di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan sindiket ini.

"Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my, atau talian bebas toll, 1 800 886 800 atau Whatsapp 019 279 4317," katanya.

Berita Harian X