Rabu, 22 Jun 2022 | 5:07pm

Subsidi ayam dimansuh, banyak pihak ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki.

Perdana Menteri berkata, ketetapan itu juga dibuat kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga barang.

Beliau berkata, situasi itu juga sekali gus akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang makanan lain.

"Oleh kerana pada 1 Julai nanti, harga ayam tidak lagi disubsidi oleh kerajaan kerana walaupun kerajaan mengeluarkan RM700 juta untuk subsidi ayam supaya tiada kenaikan harga, tetapi kita lihat harga tidak juga kekal seperti ditetapkan kerajaan sebanyak RM8.90 sekilogram.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto

"Ada rungut di banyak tempat, dalam media, berita, televisyen dan sebagainya apabila ada (harga ayam) sampai RM13 (sekilogram).

"Dengan belanja RM700 juta untuk subsidi, harapan kerajaan tidak tercapai kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi.

Sidang media itu diadakan antara untuk menjelaskan kekeliruan yang berlaku berhubung pengumuman yang dibuat semalam oleh Nanta Linggi mengenai pemansuhan subsidi membabitkan minyak masak botol dua hingga lima kilogram.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk menghentikan penyaluran RM700 juta subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur kerana mendapati tidak mencapai hasrat seperti dikehendaki. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X