Rabu, 22 Jun 2022 | 4:42pm

Kerajaan kekal subsidi minyak masak berpaket

KUALA LUMPUR: Subsidi minyak masak berpaket dikekalkan dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, peruntukan subsidi minyak masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.

Susulan itu, beliau menafikan dakwaan mengatakan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.

"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan domestik.

"Ertinya subsidi minyak masak paket yang bermula sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik seperti digambarkan sesetengah pihak," katanya ketika sidang media khas yang disiarkan secara langsung di televisyen dan secara maya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak mendakwa kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi minyak masak, yang menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan inflasi makanan.

Ia susulan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam, mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga lima kilogram (kg), bermula 1 Julai ini.

Mengulas pengumuman itu, Perdana Menteri menjelaskan, pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, membabitkan peruntukkan berjumlah RM55 juta sebulan.

Menurut Ismail Sabri, program subsidi sementara yang bermula Ogos tahun lalu itu asalnya dikhususkan selama tiga bulan sahaja untuk membantu rakyat yang terkesan ketika pandemik COVID-19, sebelum ia dilanjutkan setiap tiga bulan, kemudian sehingga kini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terpaksa memansuhkan program itu selepas mendapati minyak masak botol bersubsidi banyak diselewengkan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

"Berbanding minyak masak paket, minyak masak botol dilihat lebih mudah diseludup. Jika 10 botol minyak masak botol bersubsidi 5kg diseludup, ia bererti sudah 50kg.

"Melihat kepada penyelewengan yang berlaku, kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk meneruskan subsidi minyak masak botol kerana ia tidak tidak lagi menepati objektif ia diperkenalkan untuk membantu golongan terkesan pandemik," katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri menegaskan subsidi minyak masak paket adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, khususnya golongan B40.

"Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.

"Jadi, jumlah minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan mencatatkan lebihan 5,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan sebenar pengguna. Jadi, tiada sebab ia tidak mencukupi," katanya.

Kakitangan awam mengikuti siaran langsung sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman Youtube Berita Harian Online di Menara Kinabalu hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Kakitangan awam mengikuti siaran langsung sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman Youtube Berita Harian Online di Menara Kinabalu hari ini. - NSTP/Mohd Adam Arinin
Berita Harian X