Rabu, 22 Jun 2022 | 11:50am
Sistem saliran yang perlu diperbaiki dan dinaiktaraf bagi mengatasi beberapa masalah dihadapi kira-kira 500 petani Pulau Langkawi, Kedah.
Sistem saliran yang perlu diperbaiki dan dinaiktaraf bagi mengatasi beberapa masalah dihadapi kira-kira 500 petani Pulau Langkawi, Kedah.

Bekalan air, rumput jejas 500 pesawah Langkawi

GEORGETOWN: Bekalan air tidak mencukupi ekoran sistem saliran tidak sempurna, adalah di antara isu dihadapi kira-kira 500 petani Pulau Langkawi, Kedah setiap kali musim tanaman menuai.

Malah mereka turut mengalami kerugian dan terjejas pendapatan akibat beberapa lagi masalah yang dihadapi.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader, berkata selain itu, petani turut berdepan dengan ancaman rumput yang semakin luas di petak sawah.

Katanya, antara kampung yang terbabit ialah Kampung Baru, Mawar, Bukit Temin, Bayas, Lubuk Setoi, Nyior Chabang dan Padang Mat Sirat.

"Menerusi tinjauan CAP didapati hampir separuh daripada 2,000 relung sawah yang diusahakan petani kampung itu terencat pembesarannya dan ditumbuhi rumput.

"CAP difahamkan bahawa petani di sini mengerjakan sawah dua kali setahun dan hanya mengharapkan air hujan bagi mengairi tanaman padi mereka," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, CAP memandang serius masalah itu kerana ia bukan saja menjejaskan kehidupan petani tetapi juga pengeluaran hasil makanan negara.

"CAP percaya dan bimbang jika masalah ini berterusan ia boleh menggugat sektor pertanian dan ekonomi negara pada masa akan datang.

"Justeru, CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan menyiasat masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya," katanya lagi.

Sementara itu, petani, Amin Saad, 37, berkata masalah itu menyebabkan mereka mengalami kemerosotan hasil lebih 50 peratus dan kerugian besar kerana banyak pokok padi yang mati dan buahnya tidak berisi.

"Selain penanaman padi biasa, kawasan projek padi pulut juga mengalami keadaan sama menyebabkan ada antara petani yang menyertai projek itu menghentikan penanaman padi berkenaan.

"Kehidupan kami sekarang amat membebankan kerana terpaksa membelanjakan wang yang banyak bagi mengatasi masalah itu terutama kepada penyewa tanah sawah berikutan bayarannya mahal berbanding hasil padi yang amat sedikit kami peroleh," katanya.

Petani, Ahmad Nayan, 54, turut berasa kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku namun hingga sekarang tiada tindakan diambil bagi mengatasinya.

"Kami mencadangkan supaya pihak berkenaan menaik taraf dan membersihkan saliran sepanjang lebih kurang satu kilometer dari Lubuk Sembilang hingga ke Bukit Hantu serta membina empangan bagi menyimpan air dari Gunung Raya bagi kegunaan petani," katanya

Berita Harian X