Selasa, 21 Jun 2022 | 11:18pm
Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

Takkan wujud kerjasama UMNO-BERSATU hadapi PRU-15 - Shahril

KUALA LUMPUR: UMNO mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagaimana dimuktamadkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata terdapat beberapa asas yang jelas mengapa parti itu menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU termasuk menerusi Muafakat Nasional (MN).

"Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan mempersoal status penyertaan BERSATU ke dalam MN selepas dijemput dua tahun lalu. Saya beri jawapan terus status dan punca BERSATU tidak diterima masuk.

"Pertama, BERSATU ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Ini jelas apabila hampir separuh daripada Ahli Parlimen BERSATU serta hampir keseluruhan pimpinan mereka di Sabah pasca PRU-14 adalah bekas wakil rakyat UMNO yang dianggap sebagai pengkhianat parti oleh akar umbi UMNO," katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, BERSATU juga tidak jujur dalam kerjasama sebelum ini.

Katanya, perkara itu terbukti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila BERSATU meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawan calon Barisan Nasional (BN).

"Tambahan lagi, mereka pecahkan undi dengan meletakkan calon bebas yang menyokong kerajaan Datuk Seri Hajiji Noor selepas tamatnya PRN Sabah.

"Ini selepas UMNO melepaskan kerusi tradisi seperti Sulaman, Kawang, Membakut dan lain-lain yang merupakan kerusi UMNO tetapi dilepaskan kepada BERSATU. UMNO juga tidak meletakkan calon atau calon bebas," katanya.

Beliau turut berkata, BERSATU juga mendaftarkan PN tanpa sebarang perbincangan bersama UMNO.

"Sekali lagi, BERSATU yang ditubuhkan untuk mengganti UMNO menubuhkan PN pula dengan tujuan yang sama, untuk mengganti BN.

"BERSATU tahu jika menyertai MN, tidak boleh mendominasi keputusan tanpa persetujuan anggota yang lain. Sebab itu mereka tubuhkan PN dan memikat PAS sekali.

"Malah pada satu ketika parti komponen BN juga dipelawa tanpa sebarang perbincangan bersama UMNO. Bila dah bertindak begini, macam mana nak terima masuk MN?" katanya.

Semalam, dalam ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN), Wan Saiful mendakwa BERSATU tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah atau membatalkan surat untuk menyertai MN, selepas keluar daripada Pakatan Harapan.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan sehingga hari ini masih tiada jawapan mengenai penyertaan BERSATU dalam MN, sedangkan parti itu sebelum ini dijemput menyertainya.

Berita Harian X