Selasa, 21 Jun 2022 | 1:00pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Trend penularan HFMD menurun

PUTRAJAYA: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada Minggu Epidemiologi (ME) 24/2022 dari 12 Jun hingga Rabu lalu, mencatat penurunan sebanyak 19.3 peratus kepada 10,556 kes berbanding 13,077 jangkitan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata trend angka mingguan kes HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas ia mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022.

"Selangor menjadi penyumbang terbesar dengan merekodkan bilangan kes tertinggi berbanding negeri lain, iaitu sebanyak 29,880 jangkitan (28.1 peratus).

"Ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 11,687 kes (11.0 peratus), Perak (10,938 kes / 10.3 peratus), Johor (7,052 kes / 6.6 peratus) dan Kelantan (6,532 kes / 6.1 peratus)," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan tahun ini setakat Rabu lalu, sebanyak 106,477 kes HFMD dilaporkan, meningkat 39 kali ganda berbanding 2,710 jangkitan dalam tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, katanya, ia juga meningkat 3.4 kali ganda berbanding 31,500 kes dalam tempoh sama pada 2019 (sebelum pandemik COVID-19).

Dalam pada itu, beliau berkata, kanak-kanak menjadi golongan paling banyak dijangkiti HFMD dengan 95,175 kes (89 peratus) membabitkan mereka yang berusia enam tahun ke bawah, diikuti kumpulan berumur tujuh hingga 12 tahun dengan 9,183 jangkitan (sembilan peratus).

"Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga virus utama yang mengakibatkan penularan penyakit itu dalam komuniti pada 2022 adalah Enterovirus 71 (EV71), Coxsackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

"Dua kes HFMD yang disahkan dijangkiti EV71 masih berada bawah pemantauan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis)," katanya.

Hingga kini, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,012 wabak dilaporkan di Malaysia yang mana Kuala Lumpur dan Putrajaya mendahului dengan 650 wabak (32.3 peratus), diikuti Sarawak (312 wabak / 15.5 peratus) dan Selangor (252 wabak / 12.5 peratus).

Beliau menjelaskan, wabak didefinisikan sebagai penularan HFMD dengan jumlah kes dua atau lebih dalam satu lokaliti, dan jangkitan mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit.

Katanya, majoriti lokasi penularan wabak adalah di taska, tabika, tadika dan prasekolah membabitkan 1,131 wabak (56 peratus), disusuli rumah persendirian (794 wabak / 40 peratus) serta pusat jagaan kanak-kanak (57 wabak / tiga peratus).

Berita Harian X