Isnin, 20 Jun 2022 | 1:26pm
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah ketika Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini. - Foto PEJABAT EXCO
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah ketika Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini. - Foto PEJABAT EXCO

Kadar pengangguran di Johor menurun

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan kadar pengangguran lebih rendah antara Januari 2021 hingga suku pertama tahun ini kepada 3.2 peratus, turun 0.7 peratus berbanding 3.9 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, mengikut sumber maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur di Johor pada suku pertama tahun ini pula adalah seramai 58,600 orang, berkurang kepada 12,200 orang berbanding 70,800 penganggur pada suku pertama tahun lalu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) mengenai kadar pengangguran di Johor pada Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Menjawab soalan Aznan mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran, Mohd Hairi berkata Unit Strategik Modal Insan (SMI) Johor giat mengadakan Program Latihan Kemahiran Johor (Pro Mahir), Program Gerak Kerjaya Johor (GKJ) dan juga hebahan jawatan kosong sepanjang tahun di platform media sosial jabatan sebagai inisiatif menghebahkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

"Tahun ini, menerusi Pro Mahir, Unit SMI menyasarkan sebanyak 1,169 orang akan mendapat manfaat daripada penyertaan kursus kemahiran dalam pelbagai bidang dan peluang penempatan pekerjaan.

"Menerusi program ini, sebanyak 44 kursus ditawarkan kepada golongan sasar seperti lepasan sekolah, graduan, mereka yang diberhentikan kerja dan pencari kerja yang mana objektifnya peserta program dapat menggunakan sijil kemahiran yang diperolehi untuk meningkatkan pendapatan diri," katanya.

Mohd Hairi berkata, pada 25 Mei lalu, Unit SMI menerusi GKJ menganjurkan temuduga terbuka dengan menawarkan lebih 883 jawatan kosong membabitkan penyertaan lapan majikan.

Selain itu, katanya, Unit SMI juga giat membuat hebahan jawatan kosong di platform media sosial dengan sebanyak 623 jawatan kosong sudah diiklankan dan dihebahkan.

Berita Harian X