Isnin, 20 Jun 2022 | 11:58am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tanah rizab Melayu didakwa hanya tinggal kira-kira 12 peratus

Kuala Lumpur: Penyusutan tanah rizab Melayu, pendidikan dan hal ehwal ekonomi menjadi tiga isu utama yang perlu diberi perhatian serius oleh orang Melayu di negara ini.

Perkara itu juga akan diangkat sebagai teras perjuangan Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi mengasuh anjakan minda bangsa untuk menghadapi segala tekanan dan cabaran semasa.

Timbalan Pengerusi ADAB, Prof Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, isu tanah rizab

Melayu adalah isu besar kerana jumlah tanah berstatus demikian berkurangan dengan mendadak daripada lebih 50 peratus suatu ketika dulu kepada hanya kira-kira 12 peratus ketika ini.

"Ia sudah diambil dan dibangunkan dengan pelbagai projek, projek kerajaan dan projek perumahan. Walaupun ada undang-undang (tanah rizab yang diambil) mesti diganti sertamerta, tetapi tidak digantikan.

"Maka banyaklah tanah rizab yang diambil oleh kerajaan negeri, tetapi tidak diganti sebaik-baiknya dengan tanah yang sama tara, sama taraf dan sama nilai.

"Jadi hasilnya sekarang, di Kuala Lumpur misalnya, hanya tinggal tiga peratus tanah rizab Melayu merangkumi kawasan di Gombak dan perkampungan Melayu," katanya kepada BH selepas Mesyuarat Agung Tahunan ADAB, di sini semalam.

Beliau menggesa pihak yang berkenan mencari jalan menebus tanah rizab yang sudah diambil dan tergadai kepada bangsa lain atau menggantikannya dengan tanah lain yang sama nilai, malah tindakan pendakwaan di mahkamah harus diambil jika perlu untuk menegakkan keadilan.

"Jika boleh, ambil semula dan dakwa orang salah guna kuasa yang meminda status tanah berkenaan. Jika perlu tuduh di mahkamah demi memperoleh keadilan, maka langkah itu perlu dilakukan segera jika pengambilan tanah rizab Melayu yang dibuat itu salah dari sudut undang-undang.

"Kita juga minta tidak ada lagi orang gunakan kuasa politik dan kuasa undang-undang untuk ambil alih tanah rizab Melayu yang kemudian dipinda serta diubah statusnya tanpa diganti.

"Jika tidak boleh (tebus) dan ada banyak masalah, maka kita minta supaya diganti dengan tanah lain yang ada. Ini kita timbulkan kerana (penyusutan tanah rizab Melayu) sudah menjadi masalah kepada bangsa Melayu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi ADAB, Datuk Ghazali Yusof, berkata tiga isu yang diberi

tumpuan itu akan dibincangkan dengan serius dalam beberapa program yang bakal dilaksanakan NGO berkenaan kelak.

Katanya, perbincangan holistik dan mendalam mengenai perkara itu akan turut digerakkan oleh NGO Melayu lain demi kebaikan sejagat.

"Kita angkat isu ini supaya orang Melayu sedar dan fikirkan langkah untuk bertindak secara wajar. Kita akan bekerjasama dengan banyak NGO Melayu lain supaya kita ada pendekatan yang kolektif demi membangkitkan kesedaran orang Melayu.

"Kesedaran orang Melayu dalam isu-isu seperti ini dilihat semakin berkurangan, terutama membabitkan tanah rizab," katanya.

Berita Harian X