Ahad, 19 Jun 2022 | 3:50pm
Seramai 200 kakitangan, penyelidik serta sukarelawan daripada Yayasan CIMB dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menanam anak pokok kayu bakau pada majlis pelancaran Inisiatif Pemulihan Hutan Bakau Yayasan CIMB-UKM di Taman Alam Kuala Selangor, hari ini. - Foto IHSAN PEMBACA
Seramai 200 kakitangan, penyelidik serta sukarelawan daripada Yayasan CIMB dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menanam anak pokok kayu bakau pada majlis pelancaran Inisiatif Pemulihan Hutan Bakau Yayasan CIMB-UKM di Taman Alam Kuala Selangor, hari ini. - Foto IHSAN PEMBACA

Semua pihak perlu bekerjasama lindungi hutan paya bakau

KUALA SELANGOR: Hanya terdapat 520,000 hektar paya bakau yang menjadi 'benteng semulajadi' ancaman hakisan yang dilindungi sama ada di peringkat jabatan mahu pun kerajaan negeri ketika ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, terdapat 100,000 hektar kawasan paya bakau di seluruh negara ini yang tidak dilindungi dan boleh diancam kemusnahan

Beliau berkata, ketika ini keseluruhan keluasan hutan paya bakau dilaporkan kira-kira 620,000 hektar sama ada dilindungi atau tidak.

Katanya, keluasan hutan paya bakau di negara ini dikatakan hanya tinggal kira-kira 50 peratus sejak negara mencapai kemerdekaan.

Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedia membantu mana-mana kerajaan negeri untuk mencari kaedah bagi memelihara kira-kira 100,000 hutan paya bakau yang masih belum dilindungi di seluruh negara, selain meningkatkan ekonomi masyarakat dan negeri.

"Pada masa sama, kita juga turut mempromosikan pembangunan lestari dengan mementingkan tiga tunjang utama iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor korporat dan swasta. Secara perlahan-perlahan, kita kekalkan keluasan yang ada dan melindungi apa yang tinggal," katanya selepas majlis pelancaran Inisiatif Pemulihan Hutan Bakau Yayasan CIMB - UKM di Taman Alam Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 700 anak pokok kayu bakau ditanam di kawasan berkenaan yang disertai kira-kira 200 individu membabitkan kakitangan, penyelidik serta sukarelawan daripada Yayasan CIMB dan UKM.

Dr Wan Kamal berkata, pihaknya juga tidak menghalang sebarang projek pembangunan dan menganggap ia konsep yang salah.

"Tidak dinafikan, banyak pembangunan terutama sektor pelancongan yang akan dilakukan terhadap kawasan pesisir pantai termasuk hutan bakau.

"Apa yang penting, semua pihak harus berganding bahu dan berbincang adakah ia sesuai atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB Mohamed Rafe Mohamad Haneef berkata, program yang diadakan itu adalah yang pertama di bawah pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, sebanyak RM380,000 diperuntukkan kepada UKM yang akan menjalankan kajian pembangunan di kawasan Taman Alam Kuala Selangor bagi penanaman anak pokok kayu bakau.

"Kita memulakan projek ini dengan UKM sejak dua tahun lalu sebelum pandemik COVID-19. Inisiatif ini adalah usaha menjaga hutan bakau yang berupaya penyerapan karbon dioksida serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus menghadapi perubahan iklim di Malaysia," katanya.

Berita Harian X