Sabtu, 18 Jun 2022 | 5:08pm

67,944 unit kediaman Residensi Wilayah Keluarga Malaysia diluluskan hingga Mei

KUALA LUMPUR: Sejumlah 67,944 unit kediaman di bawah 104 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan sudah mendapat kelulusan pembinaan setakat Mei lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 97 projek diluluskan di Kuala Lumpur, diikuti tiga di Putrajaya dan empat lagi di Labuan.

"Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) turut memperkenalkan program baharu iaitu rumah untuk disewa sebagai transit dikenali 'Council Home' atau Rumah Bandaraya.

"Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci kepada 200 pemilik unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim serta timbalannya, Datuk Jalaluddin Alias.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, KWP turut menyasarkan pembinaan 5,000 unit kediaman itu dalam tempoh lima tahun sehingga 2027.

"Sehingga April tahun ini, sebanyak 10 tapak sudah dikenal pasti untuk pembinaannya di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang di Segambut yang membabitkan jumlah 1,251 unit," katanya.

Menyentuh unit Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3, beliau berkata, projek dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara KWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat SkyWorld Development Group (SkyWorld) ini menawarkan 1,905 unit kediaman pada harga RM300,000 seunit.

Katanya, setiap unit berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

"Kediaman mampu milik ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, jakuzi, gelanggang bola keranjang dan dewan serba guna.

Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Shahidan (kiri) beramah mesra bersama penerima sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ismail Sabri (dua dari kiri) dan Shahidan (kiri) beramah mesra bersama penerima sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Saya difahamkan, pemaju turut menyediakan kawasan permainan kanak-kanak yang hanya boleh didapati dalam projek kediaman mewah yang harganya melebihi RM500,000 seunit.

"Ini satu nilai tambah yang dilakukan pemaju bagi penduduk yang mendiami kediaman mampu milik ini untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Residensi SkyAwani 3 turut mempunyai jambatan 'SkyBridge' yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia iaitu 170.55 meter.

"Semua unit Residensi SkyAwani milik SkyWorld menerima pengesahan kualiti standard QLASSIC dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kategori rumah mampu milik di Malaysia.

"Ini bermakna, kualiti kemahiran kerja pembinaannya mencapai piawaian ditetapkan oleh CIDB melalui prinsip pemeriksaan kali pertama selaras objektif 'Do Things Right the First Time and Every Time' (Lakukan Perkara Betul Kali Pertama dan Setiap Kali)," katanya memaklumkan Residensi SkyAwani satu hingga lima memiliki unit kediaman berjumlah 6,236 yang sudah terjual sehingga tahun ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa memastikan kediaman ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal, selain mampu dimiliki sejajar wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

"Justeru, kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara sudah menggariskan langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.

Ismail Sabri (belakang tengah) dan Shahidan (tiga dari kiri) bersama penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ismail Sabri (belakang tengah) dan Shahidan (tiga dari kiri) bersama penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani 3 di Residensi Sky Awani 3, Setapak. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X