X
Khamis, 16 Jun 2022 | 9:23pm
Seorang daripada suspek yang ditahan terbabit dalam kes samun jalanan di sekitar Kubang Pasu - Foto NSTP/PDRM
Seorang daripada suspek yang ditahan terbabit dalam kes samun jalanan di sekitar Kubang Pasu - Foto NSTP/PDRM

Dua penyamun jalanan ditahan

JITRA: Polis menahan seorang lelaki dan 'wanita berlagak lelaki' di Jalan Kelubi, di sini semalam yang dipercayai terbabit dalam lima kes samun jalanan sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata pasangan berusia 20-an itu ditahan pada jam 5 petang semalam hasil maklumat dan risikan polis.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap suspek, sepasukan polis melakukan serbuan di dua lokasi di daerah ini dan merampas sebuah motosikal dan dua topi keledar yang digunakan suspek ketika melakukan jenayah samun.

"Antara barangan yang dirampas ialah dua buah beg silang, empat telefon bimbit, lima resit jual beli telefon dan beberapa dokumen peribadi yang dipercayai milik mangsa ragut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek tangkapan ini didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan juga mendapati, salah seorang suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 20 Jun ini untuk membantu siasatan.

Berikutan tangkapan itu, polis percaya berupaya menyelesaikan lima kes samun jalanan yang berlaku pada Mei dan Jun yang di kawasan Kubang Pasu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh di hukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Rodzi berkata, polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian jenayah untuk terus menyalurkan maklumat di talian hotline 04-9172222.

Berita Harian X