Khamis, 16 Jun 2022 | 4:18pm
Sukarelawan PPIM, Azura Said Mohd dan Salmi Sofea Azmi menunjukkan aplikasi YAKIN yang dibangunkan PPIM.- Foto NSTP/Rohanis Shukri
Sukarelawan PPIM, Azura Said Mohd dan Salmi Sofea Azmi menunjukkan aplikasi YAKIN yang dibangunkan PPIM.- Foto NSTP/Rohanis Shukri

Aplikasi YAKIN bantu kenal pasti perkhidmatan mengelirukan

KUALA LUMPUR: Aplikasi YAKIN, sebuah platform gaya hidup Muslim yang dibangunkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dilihat dapat berperanan penting dan mampu membantu pengguna mengenal pasti perkhidmatan yang mengelirukan dan bersifat scam (penipuan).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata aplikasi yang dibangunkan bersama Crescent Digital Sdn Bhd itu akan membantu pengguna untuk lebih berwaspada sebelum menjalankan sebarang urusan, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, menerusi aplikasi itu, PPIM akan menyokong langkah memperkasa kepenggunaan dengan mengenalpasti perkhidmatan yang mengelirukan dan bersifat scam, seterusnya memaparkannya di dalam aplikasi YAKIN untuk rujukan pengguna.

"Jelas, aplikasi ini adalah bertepatan dengan objektif penubuhan PPIM untuk memperjuangkan hak pengguna seterusnya melahirkan generasi masyarakat yang berakhlak murni serta dapat mendidik rakyat supaya canggih dan celik teknologi," katanya pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih YAKIN di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, aplikasi itu juga berpotensi digunakan sebagai platform untuk membantu serta menyokong peniaga untuk mempromosikan produk mereka.

"Harapan saya apabila masuk fasa kedua kelak, PPIM dapat menjadikan aplikasi ini platform e-dagang yang menjual barang harga patut untuk manfaat pengguna," katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata aplikasi YAKIN dibangunkan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan kepenggunaan dan mendapatkan bantuan mangsa pemberi wang tidak berlesen atau ceti haram.

Selain itu, aplikasi berkenaan turut menawarkan perkhidmatan saluran sumbangan derma kepada pihak yang sahih.

Katanya, selain untuk memperkasa pengguna dan usahawan Muslim era digital ia juga sebagai pemangkin dan pemacu inovasi tempatan bernilai tinggi dalam menyumbang kepada ekonomi digital Islam di Malaysia.

"Aplikasi ini bukan sahaja menyasarkan pengguna, malah ia juga dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien kepada kumpulan pengguna Islam serta bukan Islam.

"Apa yang lebih penting, kempen derma yang terdapat di dalam aplikasi YAKIN sudah disemak dan disahkan terlebih dahulu," katanya.

Nadzim berkata, ciri lain yang terdapat dalam aplikasi itu termasuk Modul Ibadah iaitu waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan banyak lagi.

Katanya, dengan jumlah pengikut media sosial yang besar iaitu lebih daripada 1.5 juta orang di lima platform media sosial, aplikasi itu berkemampuan untuk menjadi aplikasi gaya hidup Muslim tempatan yang utama dan paling komprehensif.

Berita Harian X