Khamis, 16 Jun 2022 | 8:05am
Tujuh unit tukun tiruan jenis konkrit kuboid juvenil akan dilabuhkan di perairan Laut Pulau Tulai, dekat Pulau Tioman, Rompin. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Tujuh unit tukun tiruan jenis konkrit kuboid juvenil akan dilabuhkan di perairan Laut Pulau Tulai, dekat Pulau Tioman, Rompin. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

7 tukun tiruan kuboid di perairan Pulau Tulai

Mohd Rafi Mamat

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menempatkan tujuh unit tukun tiruan jenis 'kuboid juvenil' berharga RM270,000 di perairan Laut Pulau Tulai, dekat Pulau Tioman, Rompin di sini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata program melabuhkan tukun kali pertama pada tahun ini itu diadakan esok.

Katanya, penggunaan tukun tiruan seberat 18 tan setiap satu itu bukan saja menjadi habitat pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi, tetapi juga sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini kita melabuhkan tukun tiruan di perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman. Tahun lalu tiga bot nelayan asing dijadikan tukun di kawasan di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

"Dalam tempoh 13 tahun, pihak jabatan sudah menurunkan sebanyak 262 tukun tiruan konkrit di beberapa kawasan perairan di Pahang seperti di Cherating, Rompin, Pekan dan Pulau Tioman," katanya.

Beliau berkata, kajian dilakukan di perairan Kampung Nenasi, Pekan mendapati terdapat 26 spesies ikan komersial dan 28 jenis batu karang hidup dan membiak di kawasan tukun.

"Projek tukun tiruan yang diusahakan pada tahun ini dijangka memberi penambahan stok sumber ikan di perairan Taman Laut Pulau Tulai.

"Limpahan sumber akan keluar daripada Taman Laut secara berterusan memasuki zon tangkapan serta memberi tambahan pendapatan kepada 2,058 nelayan zon pantai negeri ini.

"Aktiviti pelancongan di Pulau Tunai, termasuk Pulau Tioman dijangka terus bertambah apabila peminat aktiviti menyelam dapat melihat pelbagai jenis ikan," katanya.

Berita Harian X