Selasa, 14 Jun 2022 | 6:46pm
Mustapa pada sidang media selepas sesi taklimat dan mesyuarat pengurusan projek pembangunan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/HIDAYATIDAYU RAZALI
Mustapa pada sidang media selepas sesi taklimat dan mesyuarat pengurusan projek pembangunan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. - NSTP/HIDAYATIDAYU RAZALI

Projek pembangunan RMK-12 di Kelantan berjalan lancar

KOTA BHARU: Projek pembangunan di Kelantan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), berjalan lancar serta mengikut perancangan dengan mencapai pelaksanaan sebanyak 27.8 peratus, setakat Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata semua projek pembangunan itu menggunakan RM665 juta daripada jumlah peruntukan.

Walaupun perbelanjaan lebih rendah berbanding purata nasional 33.5 peratus, beliau berkata, pencapaian itu adalah lebih tinggi berbanding 14 peratus atau RM334 juta pada April lalu.

"Sejumlah 392 projek pembangunan di Kelantan membabitkan peruntukan RM1.8 bilion diluluskan bawah RMK-12.

"Semua projek diluluskan itu akan dipastikan dapat dilaksana dalam tempoh ditetapkan selaras dengan Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan mesyuarat pengurusan projek pembangunan di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Selain itu, Mustapa berkata, lebih RM1.5 bilion diluluskan bagi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dilaksanakan melalui dua fasa utama.

"Fasa pertama membabitkan kos RM656 juta dan dijangka siap pada 2024 yang merangkumi pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 26.2km, pembinaan pemecah ombak, ban Sungai Mentua sejauh 8.1km, pagar Kuala Jambu serta penambahbaikan ban banjir Sungai Lanchang Lemal sepanjang 19.8km.

"Fasa kedua dijangka siap pada 2028 membabitkan kos RM465 juta meliputi pembinaan benteng tebatan banjir Rantau Panjang, pengambilan tanah dan beberapa komponen bukan fizikal.

"Kerajaan Persekutuan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri juga meluluskan permohonan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan PLSB Sungai Golok Fasa Dua dengan kos tambahan RM414 juta.

"Justeru, kos meningkat sebanyak RM465 juta kepada RM879 juta," katanya sambil menjelaskan kelulusan kos tambahan itu adalah berdasarkan penjimatan beberapa projek lain bawah KASA yang tidak dapat dibelanjakan.

Beliau berkata, projek PLSB kedua-dua fasa terbabit dijangka dapat mengatasi masalah banjir, sekali gus memanfaatkan 40,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mustapa memaklumkan semua projek pembangunan di seluruh negara, tahun ini, membabitkan kos sebanyak RM75 bilion.

Berita Harian X