X
Selasa, 14 Jun 2022 | 1:45pm
Dr Maszlee Malik.
Dr Maszlee Malik.

JKPKP kesal Radzi Jidin tidak hadir mesyuarat

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen (JKPKP) kesal dengan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) serta menterinya kerana tidak hadir dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik, berkata ini kerana tajuk utama mesyuarat berkenaan adalah mengenai pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh KPM yang diumumkan pada 2 Jun lalu.

"Memandangkan isu ini membabitkan kepentingan rakyat dan berkait rapat dengan masa depan pendidikan negara, JKPKP melalui Setiausaha Dewan Rakyat sudah memanggil Menteri KPM atau wakilnya untuk memberikan pencerahan dan penerangan mengenai rasional, persiapan dan juga alternatif kepada tindakan itu.

"Malangnya KPM dan menterinya memilih untuk tidak hadir. Hal ini amat dikesali, kerana ianya meremehkan kuasa Parlimen dan merendahkan konsep pengasingan kuasa yang wujud di negara ini.

"Sikap tidak profesional ini juga menimbulkan seribu tanda tanya apakah yang menyebabkan mereka takut untuk berhadapan dengan Parlimen melalui JKPKP? Apakah yang ingin disembunyikan?" katanya menerusi satu status yang dimuat naik di Facebook miliknya, hari ini.

Berikutan itu, Maszlee berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat dan JKPKP juga akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat serta Perdana Menteri bagi membincangkan isu sama.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan mengenai pemansuhan PT3 pada tahun ini dan kementeriannya mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Beliau dilaporkan berkata, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.

Menurutnya, keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

Berita Harian X