Selasa, 14 Jun 2022 | 10:16am
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Manjung memeriksa tangki yang dipercayai terbabit aktiviti pembelian dan penyelewengan diesel di Pantai Remis, Manjung. NSTP/IHSAN KPDNHEP.
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Manjung memeriksa tangki yang dipercayai terbabit aktiviti pembelian dan penyelewengan diesel di Pantai Remis, Manjung. NSTP/IHSAN KPDNHEP.

Dua termasuk pemilik stesen minyak disyaki seleweng diesel ditahan

MANJUNG: Dua lelaki termasuk pemilik stesen minyak ditahan di Pantai Remis, di sini, selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti pembelian dan penyelewengan diesel, semalam.

Suspek lelaki masing-masing berusia 20-an dan 53 tahun itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung pada 12 tengah hari.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman, berkata penahanan itu susulan aduan dan risikan berkaitan aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi dengan menggunakan lori tangki secara berulang.

Menurutnya, sebuah lori tangki didapati berulang kali mengunjungi stesen minyak berkenaan untuk membeli diesel dan melakukan pengisian ke dalam tangki kenderaan dalam tempoh satu hingga dua jam di stesen minyak sama.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an mengisi sebanyak tiga kali di stesen sama. Selain itu, pemilik stesen minyak berusia 53 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati kedua-dua premis perniagaan stesen minyak dan pemborong barang kawalan diesel itu disyaki adalah individu sama dan pernah mempunyai rekod kesalahan lampau dengan KPDNHEP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, aktiviti penyelewengan itu disyaki berlaku sejak lima bulan lalu disebabkan harga minyak diesel (komersil) kini mencecah hampir RM5 seliter, sedangkan diesel di stesen minyak dijual pada harga RM2.15 seliter.

"Susulan itu sebanyak 23,200 liter diesel, sebuah lori tangki, tiga skid tank serta dua nozel dan pam minyak diesel keseluruhannya bernilai RM202,000 disita di kedua-dua premis berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang mahu mendapatkan bekalan barang kawalan bersubsidi untuk kegunaan industri perlu membuat permohonan di pejabat KPDNHEP berhampiran.

Katanya, pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan serta pemeriksaan dan sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan tiada lagi ketirisan subsidi kerajaan berlaku.

Berita Harian X