Isnin, 13 Jun 2022 | 5:24pm

Jangan tertipu dengan 'notis kehadiran suspek'

MELAKA: Polis Melaka mengesan penyebaran dokumen palsu iaitu 'notis kehadiran suspek' yang didakwa dikeluarkan kontinjen itu yang meminta mangsa membantu siasatan polis berhubung kesalahan jenayah yang dilakukan mangsa 'Macau Scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E Sundra Rajan berkata dokumen palsu yang kononnya ditandatangani Ketua Polis Melaka itu dikesan diterima mangsa berusia 24 tahun menerusi WhatsApp semalam.

Beliau berkata 'notis kehadiran suspek' yang diterima mangsa mendakwa mangsa disyaki terbabit dalam kes penyeludupan dadah, pengubahan wang haram serta menerima komisen sebanyak RM228,000.

"Menurut dokumen palsu itu, mangsa diminta memberi kerjasama dengan pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam masa dua jam selepas surat itu diterimanya dan waran tangkap ke atas mangsa akan dikeluarkan serta-merta jika mangsa tidak bekerjasama.

"Selain itu, dokumen itu turut mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan dalam tempoh 16 bulan serta mangsa juga perlu menjalani reman selama 45 hari," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa juga diingatkan tidak memberitahu orang lain berhubung dokumen yang diterimanya itu, namun mangsa telah berhubung dengan polis IPK Melaka untuk meminta pengesahan menerusi WhatsApp.

Katanya, siasatan polis mendapati dokumen palsu itu adalah modus operandi baharu yang digunakan sindiket 'Macau Scam' untuk memperdaya dan menimbulkan ketakutan orang ramai agar mempercayai mereka terbabit dengan siasatan polis.

E Sundra Rajan berkata mangsa yang terpedaya kemudiannya akan diarahkan memberi butiran akaun bank serta maklumat perbankan kepada sindiket sebelum pindahan wang daripada akaun mangsa dilakukan.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang menerima dokumen palsu berkenaan diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559/1599 untuk membuat pertanyaan atau pengesahan.

"Orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan taktik terbaharu dan licik sindiket Macau Scam ini agar tidak menjadi mangsa," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X