Isnin, 13 Jun 2022 | 2:00pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - NSTP/Aswadi Alias
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - NSTP/Aswadi Alias

Tiada cukai baharu tahun ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan berpendapat sebarang sistem percukaian baharu, termasuk syor pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tidak mungkin dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengenalan cukai baharu perlu melalui proses tertentu, termasuk libat urus bersama rakyat serta dibentang ke Parlimen terlebih dahulu.

"Jadi, bila diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat, keperluan untuk menambah baik sistem sedia ada dan tempoh secukupnya bagi sektor perniagaan membuat persediaan, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini," katanya kepada BH.

Tengku Zafrul menegaskan, sebelum memperkenalkan apaapa cukai baharu, kerajaan perlu memastikan pemulihan ekonomi pasca COVID-19 berada di landasan yang stabil dan kukuh.

Katanya, ia juga selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa cadangan pelaksanaan GST masih lagi di peringkat kajian.

"Kementerian Kewangan (MOF) juga sedar bahawa ada pelbagai cabaran semasa seperti kenaikan harga barang, ekoran gangguan rantaian bekalan global yang diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitk Ukraine-Russia.

"Tiada siapa yang boleh meramalkan hal ini semasa Bajet 2022 digubal," katanya.

Berita Harian X