Isnin, 13 Jun 2022 | 12:02pm
Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri, Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri, Zafrul Tengku Abdul Aziz. - NSTP/Rohanis Shukri

'Kerajaan masih miliki kemampuan bantu rakyat'

Ikuti temu bual wartawan BH, Shahrizan Salian dan Mohd Zaky Zainuddin dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi mendapatkan penjelasan mengenai kedudukan kewangan kerajaan, kemungkinan pelaksanaan subsidi bersasar, kos sara hidup rakyat dan prestasi semasa ringgit.

Soalan (S): Apakah paras hutang kerajaan pada masa ini? Adakah komitmen kerajaan berterusan untuk memastikan sasaran defisit berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang ditetapkan sebelum ini akan dapat dicapai?

Jawapan (J): Sebelum saya berkongsi data, saya ingin menegaskan bahawa insya-Allah, kerajaan masih mampu untuk membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. Sehingga April 2022, hutang statutori kerajaan Persekutuan yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB), mencatat 58.5 peratus daripada KDNK, di bawah had statutori 65 peratus KDNK yang ditetapkan.

Kedua, saya ingin menegaskan bahawa bagi tempoh jangka sederhana, kerajaan kekal komited untuk mencapai defisit antara tiga hingga 3.5 peratus daripada KDNK pada akhir tahun 2025 selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketiga, walau dalam apapun keadaan, kita perlu merancang untuk lebih berdisiplin dari segi fiskal. Pandemik COVID-19 telah mengajar kita betapa pentingnya untuk menyediakan payung sebelum hujan.

Berbalik kepada sasaran fiskal, apabila kerajaan membentangkan Bajet 2022 pada Oktober yang lalu dengan sasaran defisit fiskal sebanyak enam peratus daripada KDNK, Kementerian Kewangan (MOF) mengambil kira andaian harga minyak pada AS$66 setong serta prospek ekonomi global yang bertambah baik melalui pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial domestik ekoran kejayaan program vaksinasi nasional.

Malah, sehingga suku pertama 2022, kedudukan fiskal terus bertambah baik berikutan pengukuhan ekonomi domestik yang menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak 26.7 peratus (suku pertama 2021: 9.3 peratus) serta disokong oleh harga komoditi yang tinggi. Namun begitu, perbelanjaan mengurus juga bertambah terutamanya disebabkan oleh mekanisme pemberian subsidi semasa bagi membendung inflasi.

Buat masa ini, momentum berterusan untuk kutipan hasil cukai yang lebih tinggi serta hasil daripada ekosistem kerajaan dijangka dapat mengurangkan risiko ke atas sasaran fiskal, seterusnya membolehkan sasaran defisit dikekalkan pada tahap enam peratus daripada KDNK pada tahun ini seperti yang dinyatakan di dalam Kenyataan Pra-Bajet 2023.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat bagi memastikan kedudukan kewangan kekal stabil dan paras hutang kerajaan dikurangkan secara beransur-ansur. Seperti saya sebutkan sebelum ini, antara langkah kerajaan untuk memperkukuh kewangan awam adalah dengan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), pelaksanaan Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Semula Perbelanjaan Awam (PER) dalam memastikan tadbir urus fiskal dan kemampanan jangka sederhana dan panjang.

S: Berkenaan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat sejajar kenaikan harga barang, adakah kerajaan mempunyai strategi ampuh untuk membantu golongan rentan, termasuk kemungkinan memperkenalkan bantuan khas sara hidup?

J: Satu daripada sebab utama peningkatan kadar inflasi adalah berikutan ketegangan geopolitik dan gangguan kepada rantai bekalan global. Jadi, kenaikan harga ini sebenarnya turut berlaku di peringkat global. Bagi April 2022, kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) adalah 8.3 peratus, United Kingdom (UK) sembilan peratus, Jerman 7.4 peratus, Kanada enam peratus, Singapura 5.4 peratus, Filipina 3.8 peratus dan Indonesia 3.5 peratus.

Bagi Malaysia, kadar inflasi pada April 2022 adalah di tahap 2.3 peratus, sejajar dengan kadar unjuran inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahap 2.3 hingga 3.3 peratus untuk 2022. Daripada kita bimbang mengenai faktor luaran, lebih baik kita memfokuskan kepada faktor-faktor di dalam kawalan kita. Sebab itulah kerajaan telah dan akan terus melaksanakan langkah seperti mengawal harga barangan dan perkhidmatan keperluan khususnya melalui penyaluran pelbagai subsidi bagi menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan tertentu.

Bagi 2022 ini, jika harga minyak dan komoditi kekal tinggi, saya telah berkongsi bahawa jumlah subsidi keseluruhan bakal mencecah RM70 bilion, merangkumi pelbagai program subsidi termasuk Skim Penstabilan Minyak Masak; Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am; Subsidi Gas Cecair, Diesel dan Petrol; Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan 'Community Drumming'; Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan (PPHSSL); subsidi bil elektrik; dan kemudahan asas luar bandar.

Jumlah subsidi, terutama untuk RON95 dan diesel dijangka turut meningkat pada tahun ini susulan peningkatan harga minyak dunia yang kekal melebihi paras AS$100 (1 Januari hingga 1 Jun 2022: AS$103.55).

Dari segi bantuan langsung untuk rakyat, alhamdulillah, melalui Bajet 2022, penambahbaikan dibuat bagi bantuan tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Bantuan sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan yang mempunyai tiga atau lebih ramai anak, berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini, di mana kadar bantuan tertinggi ialah RM1,800.

Bantuan tunai bernilai RM2.4 bilion bagi 440,000 penerima juga akan terus diberikan melalui Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Bantuan ini juga telah ditambah baik melalui syarat kelayakan berdasarkan pendapatan isi rumah yang telah ditingkatkan daripada RM980 kepada RM1,169 sebulan. Ini bermakna, lebih ramai yang layak menerima bantuan ini.

S: Mengenai subsidi bahan api. Adakah kerajaan telah mempunyai mekanisme yang terbaik untuk melaksanakan subsidi bahan api secara bersasar? Apakah jaminan kerajaan bahawa pelaksanaannya kelak, jika menjadi kenyataan, tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah?

J: Kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme subsidi supaya ia lebih bersasar bagi golongan rentan serta mereka yang benar-benar terjejas dan memerlukan bantuan. Berbanding subsidi menyeluruh, subsidi bersasar adalah lebih saksama dan dilaksanakan oleh pelbagai negara. Program subsidi tiada makna jika bagi setiap RM1 subsidi bahan api kerajaan, 53 sen dimanfaatkan oleh mereka yang mampu kerana mereka mempunyai lebih banyak kereta, contohnya.

Saya juga pernah berkongsi bahawa bil subsidi kita semakin meningkat ekoran kenaikan harga komoditi global. Ketika kerajaan membentangkan Bajet 2022, andaian purata harga minyak yang diguna pakai adalah AS$66 satu tong. Namun, kini ia telah mencecah sehingga purata AS$100 satu tong dan berdasarkan trend ini, kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi bahan api yang jauh lebih besar, iaitu RM30 bilion berbanding anggaran Bajet 2022.

Kerajaan masih mengekalkan pemberian subsidi bahan api ini kerana negara sedang dalam fasa pemulihan dan bagi membantu mengawal keadaan inflasi supaya rakyat dan negara dapat pulih daripada kesan krisis dengan segera. Jadi, kerajaan sekarang sedang membangunkan pangkalan data terperinci seperti yang digunakan oleh kerajaan dalam menyalurkan bantuan sosial lain seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan bantuan kebajikan, selain terus melaksanakan intervensi bersesuaian untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

S: Berhubung kenyataan Datuk Seri mengenai ringgit berkemungkinan akan kembali pulih, apakah faktor yang bakal mendorong kestabilan mata wang tempatan dalam masa terdekat ini? Apakah peranan kerajaan bagi memastikan ringgit berada dalam nilai yang wajar dengan kedudukan semasa ekonomi negara?

J: Faktor utama yang akan mendorong kestabilan mata wang tempatan adalah asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan ringgit yang berhemah. Dalam hubungan ini, kestabilan mata wang tempatan akan terus disokong oleh asas-asas kukuh di dalam ekonomi, seperti prospek pertumbuhan ekonomi negara yang kekal teguh. Perkara ini dicerminkan menerusi ekonomi negara yang berkembang dengan lebih kukuh iaitu sebanyak lima peratus pada suku pertama 2022.

Di samping itu, kestabilan ekonomi negara turut diperakui oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mengunjurkan pengembangan KDNK Malaysia sebanyak 5.7 peratus bagi 2022, selari dengan unjuran rasmi kerajaan pada 5.3 hingga 6.3 peratus. Pertumbuhan ini akan terus dipacu oleh permintaan dalam negeri yang meningkat dan permintaan luar yang terus kukuh. Selain itu, komuniti penganalisis kekal yakin terhadap prospek pemulihan ringgit yang dijangka akan kembali kukuh menjelang suku keempat tahun ini.

Kerajaan menerusi BNM akan sentiasa memastikan nilai mata wang ringgit kekal terkawal supaya sektor ekonomi dapat membuat perancangan pelaburan dan perbelanjaan dengan berdasarkan nilai ringgit yang lebih stabil. Mengambil kira kadar pertukaran ringgit yang fleksibel dan ditentukan oleh sentimen dalam pasaran, kerajaan melalui BNM akan sentiasa memantau prestasi ringgit. Sekiranya volatiliti ringgit adalah berlebihan, ia boleh meningkatkan ketidaktentuan seterusnya menjejaskan kestabilan kewangan dan mengganggu aktiviti ekonomi.

S: Apakah komen Datuk Seri mengenai aliran keluar modal asing susulan perkembangan yang sedang berlaku di AS dan pasaran global lain?

J: Langkah Rizab Persekutuan AS dan beberapa bank pusat negara maju untuk mengetatkan dasar monetari telah memberi kesan kepada kecairan tunai global. Selain itu, konflik Russia-Ukraine serta jangkaan pertumbuhan ekonomi global dan ekonomi China yang lebih perlahan telah meningkatkan sentimen menghindari risiko (risk-aversion) dan seterusnya mengakibatkan kegusaran dalam kalangan komuniti pelabur antarabangsa. Keadaan ini menyebabkan pelabur memperuntukkan semula pelaburan dalam aset yang bakal menjana hasil (yield) lebih tinggi di AS dan aset selamat (safe-haven asset).

Hal ini bukan sahaja berlaku dalam pasaran modal Malaysia, bahkan turut berlaku di pasaran modal negara ekonomi membangun yang lain. Namun begitu, Malaysia masih mencatatkan aliran masuk bersih ekuiti sebanyak RM7.4 bilion (Januari-Mei 2022) dan aliran masuk bersih bon sebanyak RM380 juta (Januari-April 2022). Prestasi ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap pasaran modal Malaysia yang diperkukuhkan lagi apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April 2022 yang membolehkan aktiviti ekonomi beroperasi pada kapasiti optimum.

Di samping itu, penyambungan projek infrastruktur yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi seperti Lebuh Raya Pan Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT) juga akan meningkatkan pelaburan domestik.

Melangkah ke hadapan, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang kecil, perubahan dalam mudah tunai global dan keadaan pasaran kewangan masih boleh memberi kesan kepada pasaran kewangan domestik. Dalam hal ini, kerajaan menerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia akan terus berusaha untuk memastikan keadaan pasaran modal kekal stabil dan lancar dengan mengambil langkah proaktif bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi serta berdaya tahan.

S: Akhir sekali, adakah benar Datuk Seri bercadang bertanding di Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mewakili Barisan Nasional (BN)?

J: Buat masa ini, saya sedang menumpukan perhatian kepada ekonomi negara bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi ini dapat terus memacu pertumbuhan seterusnya. Dalam kita melaksanakan inisiatif Bajet 2022 dan mengkaji penambahbaikan yang perlu, kita juga telah memulakan proses bagi penyediaan Bajet 2023. Ini tumpuan utama saya buat masa ini dan keutamaan saya adalah untuk menstabilkan kadar pemulihan ekonomi kesemua negeri demi mencapai pertumbuhan KDNK 5.3 hingga 6.3 peratus yang disasarkan bagi Malaysia untuk tahun ini.

Berita Harian X