Ahad, 12 Jun 2022 | 10:27am
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHAMAD FAHD RAHMAT

Negeri Sembilan longgar SOP di masjid, surau mulai esok

SEREMBAN: Prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti di masjid dan surau di Negeri Sembilan, dilonggarkan termasuk tiada lagi penjarakan fizikal dalam saf jemaah, berkuat kuasa mulai esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jemaah juga tidak lagi diwajibkan membawa sejadah bersaiz standard untuk menunaikan solat di masjid dan surau.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti pengajian ilmu seperti kelas takmir, kuliah, tazkirah dan ceramah, turut dibenarkan berlangsung tanpa penjarakan fizikal.

"Bagaimanapun, jemaah masih wajib memakai pelitup muka dengan sempurna sepanjang berada di dalam ruang masjid dan surau yang tertutup," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Seterusnya, Aminuddin berkata, pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini juga dibenarkan di masjid dan surau seluruh Negeri Sembilan.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama negeri memaklumkan, pemohon atau penganjur ibadah itu perlu membuat permohonan melalui sistem e-qurb@NS, mulai jam 2 petang hari ini.

Katanya, sebarang program yang diadakan tertakluk kepada kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Pejabat Agama Islam setiap daerah.

"JHEAINS akan terus melakukan pemantauan, dan masjid serta surau yang tidak mematuhi SOP berkenaan boleh diambil tindakan, termasuk diarah tutup sekurang-kurang tujuh hari," katanya.

Berita Harian X