Sabtu, 11 Jun 2022 | 12:07pm
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia pada program Pematuhan Undang-Undang Di Stesen Minyak di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia pada program Pematuhan Undang-Undang Di Stesen Minyak di Kampung Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KPDNHEP cari formula tangani kekurangan petrol cuti perayaan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu sedang mencari formula bagi menangani masalah kekurangan bekalan petrol pada musim perayaan.

Pengarah, Saharuddin Mohd Kia, berkata perbincangan dengan pembekal petrol dan pengusaha stesen minyak untuk mencari kaedah terbaik akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Kita akan berusaha untuk memastikan bekalan petrol mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat pada musim cuti terutama Aidiladha bulan depan.

"Kita akan mencari kaedah untuk memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan minyak petrol seperti yang berlaku ketika cuti Aidilfitri bulan lalu," katanya.

Terdahulu, Saharuddin melancarkan program Pematuhan Undang-Undang Di Stesen Minyak di Kampung Wakaf Mempelam, di sini.

Saharuddin berkata, terdapat 160 stesen minyak di seluruh negeri.

Katanya, pengusaha stesen minyak yang dilesenkan perlu sentiasa mematuhi Arahan Pengawal Bekalan di bawah peraturan 12A, Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Berdasarkan arahan itu, katanya, pengusaha stesen minyak bertanggungjawab untuk memastikan bekalan petrol dan diesel di premis yang dilesenkan sentiasa mencukupi untuk jualan harian.

"Pengusaha stesen minyak juga tidak dibenarkan menutup operasi kecuali selepas mendapat kelulusan daripada pengawal bekalan dan mereka hanya dibenarkan menjual petrol dan diesel untuk tangki asal kenderaan serta industri yang mendapat surat kuasa dikeluarkan pengawal bekalan.

"Pengusaha stesen minyak juga perlu merujuk dan mendapat kelulusan daripada kementerian sebelum menaikkan harga petrol serta diesel," katanya sambil mengesahkan semua pengusaha stesen minyak sudah mengetahui arahan itu.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, pengusaha stesen minyak yang melanggar arahan pengawal bekalan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala RM3 juta sekiranya melakukan kesalahan berulang.

Ketika mengulas kekurangan bekalan minyak petrol sehingga menyebabkan ada antara pengusaha terpaksa mengehadkan jualan pada Aidilfitri, Saharuddin berkata antara faktor dikenal pasti berlakunya kekurangan bekalan adalah disebabkan penghantaran lewat sampai disebabkan kesesakan lalu lintas.

Selain itu, katanya, penggunaan petrol melebihi jangkaan susulan peningkatan jumlah kenderaan juga antara faktor bekalan bahan bakar itu tidak mencukupi.

"Kita akan mengadakan perbincangan untuk mencari formula bagi memastikan kekurangan petrol seperti yang berlaku ketika cuti Aidilfitri bulan lalu tidak berulang," katanya.

Berita Harian X