Jumaat, 10 Jun 2022 | 5:08pm

UiTM, McDonald's jalin kerjasama tingkatkan kebolehpasaran graduan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald's Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald's dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).

Kerjasama itu akan membabitkan tiga program iaitu Management Apprentice Programme (MAP), Graduate Employability Programme (GEP) dan Internship Programme (IP) yang bermatlamat menyediakan peluang kerjaya untuk penuntut daripada pelbagai latar belakang, termasuk penuntut B40 serta individu berkeperluan khas.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, berkata MoU itu adalah program yang besar serta mempunyai matlamat yang jelas dan cukup spesifik.

"Kita ingin memastikan penuntut di universiti ini bukan sekadar memiliki atau mendapat ilmu dalam kelas dan kuliah semata-mata, tetapi juga transformasi ilmu dibuat melalui cara membabitkan diri dengan aktiviti yang dianjurkan McDonald's ini.

"Penuntut yang menyertai program ini diharapkan mampu untuk mendapat pengalaman secara langsung melalui pembabitan mereka di mana-mana cawangan McDonald's.

"Apa yang penting bagi saya program ini mempunyai satu modul yang bagus untuk membolehkan penuntut yang terbabit dapat membuat transformasi selepas selesai program. Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada McDonald's atas inisiatif bersama pihak UiTM," katanya pada sidang media selepas Majlis Program Perantis dan Menandatangani MoU antara UiTM dan McDonald's Malaysia di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM, Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah, manakala McDonald's Malaysia diwakili Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Datuk Azmir Jaafar serta Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais Hilmy Sulaiman.

Roziah berkata, pihaknya menyasarkan 4,000 penuntut daripada keseluruhan 35 kampus universiti itu menyertai program perantis berkenaan.

"Program Perantis McDonald's dan UiTM amat selari dengan agenda terkini universiti bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan supaya senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi, yang mana visinya adalah ke arah graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global," katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, McDonald's Malaysia berhasrat memainkan peranannya sebagai syarikat terkemuka dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara membabitkan pembangunan belia.

"Tahun ini, McDonald's terus menumpukan perhatiannya ke arah kebolehpasaran belia dan kami menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026.

"Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald's di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat muda dan kami juga komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami, " katanya.

Katanya, McDonald's Malaysia berhasrat melabur RM300 juta untuk program latihan dan pembangunan.

Ahmad Masrizal (tengah) menyaksikan penukaran dokumen antara Roziah (tiga dari kiri) dan Azmir (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program Perantis dan MoU antara UiTM dengan McDonald's Malaysia di UiTM Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ahmad Masrizal (tengah) menyaksikan penukaran dokumen antara Roziah (tiga dari kiri) dan Azmir (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program Perantis dan MoU antara UiTM dengan McDonald's Malaysia di UiTM Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X