Jumaat, 10 Jun 2022 | 10:25am
Foto hiasan
Foto hiasan

Sabah catat penurunan kes HFMD

KOTA KINABALU: Situasi semasa jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sabah menunjukkan penurunan 27.17 peratus pada minggu epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata sepanjang minggu epidemiologi ke-22, sebanyak 528 kes HFMD dilaporkan berbanding 725 kes pada minggu epidemiologi ke-21.

Katanya, secara kumulatif, kes HFMD yang dilaporkan di Sabah sehingga minggu epidemiologi ke-22 ialah sebanyak 4,604 kes dengan 4,224 kes atau 91 peratus daripadanya adalah kes HFMD membabitkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

"Melalui surveilans enterovirus, didapati sebanyak 57 sampel positif atau 21 peratus daripada 267 sampel yang diuji, iaitu masing-masing 39 sampel positif pan-enterovirus dan 18 sampel positif Coxsackie A16.

"Kedua-dua jenis virus ini yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti di negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya sebanyak lima daerah melaporkan kumulatif kes HFMD tertinggi di Sabah iaitu Tawau (715 kes), Sandakan (615 kes), Papar (470 kes), Lahad Datu (428 kes) dan Kota Belud (399 kes).

Bagaimanapun, katanya setakat ini tiada kes kematian yang disebabkan HFMD dilaporkan di Sabah, manakala kebanyakan kes jangkitan dilaporkan berlaku di rumah persendirian atau pusat pendidikan awal.

"Keadaan wabak HFMD di Sabah masih terkawal. Aktiviti kawalan seperti perjumpaan bersama pihak taska masih dijalankan dari semasa ke semasa," katanya.

Sehingga minggu epidemiologi ke-22, katanya sebanyak 7,568 premis seperti taska diperiksa pihak JKNS, manakala sebanyak 6,980 premis dilakukan proses disinfeksi di seluruh negeri.

Dalam tempoh itu, katanya sebanyak 44 premis diarah tutup mengikut Akta 342, manakala tiada premis ditutup secara sukarela oleh pemiliknya.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini sebanyak 35 premis sudah dibenarkan dibuka semula.

Selain itu, Dr Rose Nani berkata, setakat ini sebanyak 267 sampel diuji untuk mengesan virus penyebab HFMD di Sabah, manakala sebanyak 7,912 aktiviti pendidikan kesihatan bagi mencegah jangkitan dilaksanakan di seluruh negeri.

"JKNS mengingatkan agar 'gatekeeping' dilaksanakan di pintu masuk taska, tadika, tabika, prasekolah dan pusat asuhan serta pembelajaran untuk mengesan kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit berjangkit termasuk HFMD.

"Pihak pengurusan pusat penjagaan harus peka dan memastikan kanak-kanak yang menunjukkan gejala seperti demam, ruam, cirit-birit dan sebagainya tidak dibenarkan masuk ke premis.

"Ibu bapa juga dinasihatkan supaya menghantar anak ke fasiliti kesihatan bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut dan seterusnya mengasingkan kanak-kanak ini di bilik khas dan tidak bercampur atau bergaul dengan kanak -kanak lain bagi mengelakkan penularan jangkitan," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil agar tidak membawa anak ke tempat yang berisiko.

Berita Harian X