Rabu, 8 Jun 2022 | 6:07pm
WAN Saiful (tengah) dan Mohd Razman (kanan) bersama penerima bantuan.
WAN Saiful (tengah) dan Mohd Razman (kanan) bersama penerima bantuan.

Kerjasama PTPTN, YPM perkasa pendidikan pelajar asnaf

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) mengadakan pelbagai kerjasama dalam usaha membantu pelajar asnaf yang memerlukan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata program yang diadakan termasuk Program Pintar@KPLB-PTPTN yang akan dilaksanakan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi dan MRSM Kuala Krai dengan menyediakan kelas bimbingan kepada 200 pelajar sepanjang tahun ini.

Katanya, program itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar dari keluarga golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk mendapatkan akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik.

"Bagi Program Skim Anak Angkat, PTPTN memberi sumbangan elaun persekolahan sebanyak RM1,200 setahun kepada 20 anak angkat terpilih berusia 13 tahun selama tiga tahun.

"Selain itu, setiap anak angkat juga akan diberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara sekali bayar sebanyak RM200," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Program Kerjasama PTPTN dan YPM di Menara PTPTN, di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan itu adalah sebagai simbolik kerjasama PTPTN sebagai Rakan Penyumbang Pendidikan YPM 2021-2026.

Pada majlis sama, Wan Saiful turut menyerahkan sumbangan zakat PTPTN berjumlah RM150,000 kepada Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob.

PTPTN menerusi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid turut menyerahkan sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin membabitkan sumbangan bagi Program Pintar@KPLB-PTPTN berjumlah RM74,000, Skim Anak Angkat PTPTN (RM72,000) dan sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime (RM4,000).

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidari, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Hady Suhairy Baseri dan Ketua Bahagian Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria.

Wan Saiful berkata, PTPTN sentiasa proaktif dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan mahu pun swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, program sedemikian bertujuan memastikan sumbangan yang diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan sasar.

Sementara itu, Mohd Razman berkata, pihaknya yakin kerjasama antara YPM dengan PTPTN mampu melahirkan pelajar yang berjaya dan berkebolehan dalam apa juga bidang.

Katanya, pelajar itu juga bukan setakat berkebolehan dalam pelajaran tetapi juga berkerjaya hebat dan mempunyai kemahiran yang tinggi pada masa hadapan, sesuai dengan pembangunan negara.

"Jalinan kerjasama PTPTN dengan YPM ini diharap dapat memberikan manfaat kepada pelajar dari kalangan ibu bapa golongan B40 di bawah kategori fakir, miskin dan fisabilillah," katanya.

Berita Harian X