Rabu, 8 Jun 2022 | 3:50pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kes HFMD Pahang meningkat 16 kali ganda

KUANTAN: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pahang meningkat 16 kali ganda sejak awal Januari sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 3,760 kes direkod berbanding 233 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 3,585 kes atau 95.3 peratus jangkitan secara sporadik manakala 175 kes atau 4.7 peratus kes direkod di taska, tadika dan prasekolah.

"Sebanyak 3,375 kes membabitkan kanak-kanak berusia antara 0 hingga enam tahun, 326 kes pula dalam kanak-kanak tujuh hingga 12 tahun manakala 59 kes individu berusia lebih 12 tahun.

"Majoriti kes HFMD pulih tanpa rawatan dan hanya 98 kes sahaja yang pernah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut.

"Tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian direkodkan," katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan risiko di sebuah taska, di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, sehingga semalam, sebanyak 505 premis taska diperiksa dan 35 daripadanya diarah tutup mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 manakala dua pusat jagaan harian yang membuat penutupan secara sukarela.

Berikutan berlaku peningkatan kes, beliau berkata, jabatan itu turut melaksanakan sesi libat urus bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagi mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan, katanya, semua ibu bapa dan pengasuh kanak-kanak perlu mengamalkan kebersihan yang asas seperti mencuci tangan dengan betul terutama selepas menguruskan kanak-kanak ke tandas dan bilik mandi.

Katanya, pemilik premis sentiasa memastikan kebersihan terutama kawasan persekitaran serta melakukan proses nyahkuman termasuk membabitkan peralatan dan perkakas yang digunakan kanak-kanak.

"Pengurusan taska, tadika dan prasekolah juga digalakkan untuk membuat saringan 'gate keeping' di pintu masuk atau tempat permainan dalam bangunan untuk memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda penyakit HFMD.

Berita Harian X