Isnin, 6 Jun 2022 | 6:34pm
Seorang lelaki maut manakala anak dan isterinya cedera selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah kereta disyaki dipandu pemandu bawah pengaruh alkohol di Km1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar malam tadi - Foto NSTP/Ihsan PDRM
Seorang lelaki maut manakala anak dan isterinya cedera selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah kereta disyaki dipandu pemandu bawah pengaruh alkohol di Km1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar malam tadi - Foto NSTP/Ihsan PDRM

Kereta remaja disyaki mabuk bertembung, seorang maut

KAMPAR: Lelaki maut, anak serta isterinya cedera, seorang daripadanya parah, selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lagi kenderaan disyaki dipandu pemandu mabuk di KM 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd Nazri Sham Aring, 42, cedera di dada disahkan maut di tempat kejadian.

Sementara itu, anak mangsa berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala dan isterinya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan Perodua Viva dan Honda Civic itu kira-kira jam 11.45 malam.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kereta Honda Civic memasuki laluan Perodua Viva mengakibatkan kedua-dua kenderaan bertembung.

"Akibat kemalangan pemandu Perodua Viva maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata, pemandu Honda Civic berusia 19 tahun dan penumpang berusia 29 tahun tidak cedera.

Katanya, remaja berkenaan juga disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.

"Punca kemalangan masih disiasat. Bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kampar mengesahkan punca kematian disebabkan 'polytrauma sekunder akibat kemalangan'.

"Pemandu Honda Civic ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X