Isnin, 6 Jun 2022 | 1:48pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Guru perlu dapat penjelasan pelaksanaan PBS

SEREMBAN: Guru perlu diberi penjelasan terperinci mengenai kaedah pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) susulan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), mulai tahun ini.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata langkah itu penting untuk memastikan PBS dapat memenuhi keperluan dan hasrat sebenar.

Katanya, guru perlu mendapat penjelasan bagaimana melaksanakan PBS melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara berkesan sebagai ganti pemansuhan PT3.

"Pemansuhan PT3 adalah suatu yang wajar dan signifikan mengambil kira perubahan di dalam sistem pendidikan negara dan hasrat untuk melihat kemenjadian murid secara holistik dan selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

"Namun timbul persoalan, sejauh mana pelaksanaan PBS ini nanti dapat mencapai objektif yang dihasratkan, justeru, warga pendidik perlu diberikan penjelasan terperinci supaya pelaksanaan PBS dapat berjalan lancar bagi mengelak masalah lain timbul," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, agenda PBS perlu dijadikan fokus utama di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melihat aspek pelaksanaan, penambahbaikan sistem dan intervensi program.

"Justeru, JPN dan PPD diharap dapat turun padang membimbing warga guru bagi memastikan pelaksanaan PBS dapat dijayakan dengan sebaiknya. Pihak berkenaan juga diharap dapat mengadakan latihan dan bimbingan berterusan kepada guru berkaitan PBS," katanya.

Mohd Azizee berkata, usaha mempelbagaikan kaedah Pembelajaran dan Pemudahcaraan (Pdpc) juga dilihat perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepelbagaian dan gaya belajar murid.

Dalam masa sama katanya, guru juga perlu meningkatkan kualiti pengajaran dan pentaksiran dengan penguasaan kemahiran teknologi dan pembelajaran digital.

"Guru perlu diberikan autonomi dalam menentukan bentuk dan aras pentaksiran kerana mereka lebih memahami murid mereka masing-masing. Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di sekolah juga perlu diaktifkan termasuk Google Classroom (GC) sebagai medium perkongsian ilmu dan kemahiran murid," katanya.

Mohd Azizee berkata, pemantauan berterusan dari pihak pengurusan sekolah amat penting untuk memastikan keberkesanan PBS ini.

Beliau berkata, kerjasama ibu bapa melalui sarana ibu bapa untuk membantu pentaksiran ini dengan memberikan maklumat berkaitan anak-anak masing-masing serta cadangan penambahbaikan seperti program intervensi akademik juga penting.

"PBS perlu difahami kerana ia bukan semata-mata pentaksiran akademik sahaja tetapi merangkumi komponen bukan akademik. Jadinya kejayaan PBS bergantung kepada sejauh mana warga guru memahami konsep PBS yang sebenarnya.

"Malah, pelaksanaan PBS juga tidak wajar dilihat menambah beban tugas guru dengan tugas-tugas berbentuk pengkeranian tetapi ia adalah satu mekanisme bersepadu untuk mengembang bakat dan potensi murid bagi mendepani cabaran masa depan," katanya.

Awal bulan ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pemansuhan PT3, pada tahun ini dengan mengambil langkah memperkasakan PBS melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Radzi dilaporkan berkata, ia bertujuan bagi membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

Berita Harian X