Sabtu, 4 Jun 2022 | 3:41pm
Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Norliza Abdul Rahim bersama trofi anugerah The BrandLaureate SMEs BestBrands Awards 2022 bagi kategori SMEs Strategic Business Partner. - Foto UDA Holdings Berhad
Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Norliza Abdul Rahim bersama trofi anugerah The BrandLaureate SMEs BestBrands Awards 2022 bagi kategori SMEs Strategic Business Partner. - Foto UDA Holdings Berhad

UDA raih The BrandLaureate SMEs BestBrands Awards 2022

KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA), meraih anugerah The BrandLaureate SMEs BestBrands Awards 2022 bagi kategori SMEs Strategic Business Partner.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata, UDA selaku yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited menggalas peranan memperkasa dan melahirkan keluarga usahawan yang berdaya saing khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain mengukuhkan peranan dalam pembangunan hartanah negara.

Sejak di awal penubuhan, katanya, UDA sentiasa fokus menyokong hasrat kerajaan menggiatkan aktiviti keusahawan menerusi ruang niaga kondusif di tengah bandar termasuk kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA iaitu Angsana Johor Bahru Mall, Angsana Ipoh Mall, Kompleks Pertama dan Angsana Seremban.

"Pada tahun ini, UDA juga merangka sembilan Program Pembangunan Keusahawanan iaitu UDA Preneur, UDA BizzNita, UDA 4Youth, UDA One Stop Retail Centre, UDA Craft Corner, UDA Entrepreneur Trainee, Malaysian Entrepreneur Hub, Angsana Virtual Mall dan Program Adaptasi Teknologi PMKS (MYTAP) dengan jumlah sasaran 1,100 peserta.

"Menerusi usaha dan pelaksanaan program ini, UDA berharap ia dapat memberi pengalaman dan anjakan paradigma kepada usahawan supaya mereka lebih berkeyakinan dan terus berkembang maju.

"Inisiatif ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA yang berkonsepkan 'LIFE' iaitu 'Legacy' (legasi), 'Integrated' (integrasi), 'Finesse' (ketelitian) dan 'Enrich' (memperkasa)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norliza berkata, menerusi program UDA Preneur, UDA BizzNita, UDA 4Youth dan Malaysian Entrepreneur Hub (hab yang pertama – Hab Keusahawan Morten Walk di Melaka) pula, UDA menawarkan ruang niaga yang strategik dan bantuan yang diberikan termasuk kos pengurusan dan manfaat fasiliti.

Selain itu, katanya, UDA turut memperkenalkan UDA One Stop Retail Centre yang diberi nama MARI Mart iaitu platform untuk usahawan PMKS memasarkan dan mempromosikan produk mereka.

"Kini dua MARI Mart sudah beroperasi sepenuhnya iaitu di Angsana Johor Bahru Mall dan Angsana Ipoh Mall.

"UDA turut menampilkan UDA Craft Corner iaitu 'Kirana' di Malaysia Grand Bazaar, Bukit Bintang City Centre sebagai hab memasarkan dan mempamerkan produk berorientasikan pelancongan dari setiap negeri yang berkonsepkan Satu Daerah, Satu Industri bertujuan memperkukuh akses pasaran usahawan PMKS," katanya.

Bagi menggalakkan pengadaptasian digitalisasi pula katanya, UDA turut memperkenalkan Angsana Virtual Mall dengan menyediakan platform digital kepada usahawan yang memiliki atau menyewa ruang niaga bagi meningkatkan hasil jualan menerusi pembelian secara virtual atau dalam talian (e-dagang).

Selain itu, katanya, MYTAP iaitu program kolaborasi bersama Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa (BDHA) KUSKOP diperkenalkan bagi mempertingkatkan adaptasi teknologi dan automasi dalam operasi perniagaan usahawan melalui kaedah bimbingan dan pementoran secara hand-holding.

"Ketika pandemik, UDA juga mengambil langkah proaktif dengan menyediakan bantuan pengecualian dan diskaun sewa serta moratorium kepada usahawan PMKS membabitkan 847 penyewa di lebih 10 pusat perniagaan dan bangunan komersial di bawah seliaan UDA bagi menambahbaik aliran tunai usahawan seterusnya mampu kekal bertahan serta bangkit semula selepas pandemik," katanya.

Berita Harian X