Sabtu, 4 Jun 2022 | 1:31pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

MOF mulakan sesi libat urus pra-belanjawan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) akan memulakan sesi libat urus dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan di bawah Kenyataan Pra-Belanjawan (PBS) bagi memastikan belanjawan yang menyeluruh serta holistik.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sekurang-kurangnya 400 agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat awam akan dipelawa untuk mengemukakan input serta memorandum mengenai Bajet 2023 menerusi portal rasmi https://budgetmemorandum.treasury.gov.my, yang dibuka bagi serahan secara dalam talian mulai 5 petang semalam hingga 5 petang, 24 Jun ini.

Beliau berkata, PBS kali ini menyentuh tiga aspek utama berkaitan pemulihan dan ketahanan ekonomi negara, termasuk momentum pemulihan yang kukuh dilihat pada awal 2022.

Ia juga mengetengahkan kaedah terbaik dalam menyediakan Bajet 2023 yang dapat memperkukuh pemulihan Malaysia pasca-COVID-19 dengan memanfaatkan pertumbuhan serta peluang global.

PBS itu akan turut membangkitkan keperluan memperkukuh daya tahan ekonomi dan fiskal Malaysia pada 2023 dan tempoh berikutnya selain menguruskan risiko penurunan akibat ketegangan geopolitik dan rantaian bekalan yang boleh melonjakkan harga komoditi serta makanan secara ketara.

Jelas Tengku Zafrul, PBS akan turut menekankan peralihan strategik daripada fasa pemulihan pada masa ini ke arah pembaharuan jangka panjang bagi memberi mempermudah peluang pendapatan, menambahbaik kesejahteraan secara holistik serta kemajuan sosioekonomi yang mampam dan inklusif bagi Keluarga Malaysia.

"PBS ini adalah yang kedua dalam sejarah MOF dan seiring dengan amalan terbaik global dari segi mengalakkan wacana awam mengenai bajet negara selain meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses merangkanya," kata beliau.

Tengku Zafrul berkata PBS juga mengetengahkan tiga bidang khusus yang menjadi tumpuan dalam Bajet 2023 – merangka inisiatif berteraskan rakyat, terutama yang menyentuh penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan sosioekonomi rakyat.

Bajet itu akan turut menumpukan usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, khususnya bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memacu pemulihan pelancongan dan sektor lain yang terjejas akibat pandemik, memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam selain memangkin dalam bidang pertumbuhan baharu seperti meningkatkan kedudukan industri dalam rantaian nilai.

Selain itu, katanya, Bajet 2023 akan memberi tumpuan bagi memacu model pembangunan mampan yang lebih terangkum bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, terutamanya dalam mengurangkan jurang antara wilayah dan komuniti selain menggalakkan pembangunan mampan dan memperkukuh jaminan keselamatan makanan.

"Sebagai pengupaya penting dalam memacu pembangunan negara, Bajet 2023 akan menumpukan aspek bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam dan menambahbaik kemudahan menjalankan perniagaan," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, berteraskan prinsip Keluarga Malaysia, kerajaan juga menyasarkan untuk bekerjasama dengan sektor swasta, NGO dan masyarakat awam mengenai langkah-langkah bajet yang khusus.

"Menerusi panduan daripada PBS dan laman sesawang rasmi, Kementerian Kewangan mahu mempelawa orang ramai serta pihak berkepentingan untuk menyumbang input dan saranan bagi Bajet 2023 sejajar dengan prospek, cabaran serta keutamaan bagi negara," katanya.

Secara asasnya, beliau berkata, Bajet 2023 itu akan terus menyokong pertumbuhan serta menumpukan pembaharuan bagi melonjakkan kesejahteraan rakyat, pendapatan serta perlindungan sosial, meningkatkan daya saing perniagaan Malaysia serta kedudukannya dalam rantaian bekalan selain memperkukuh daya tahan negara terhadap kejutan masa depan dan mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan.

Selain itu katanya, dalam usaha memastikan keberkesanan Bajet 2023, kesemua pihak berkepentingannya dipelawa berkongsi mengenai pandangan mereka terhadap langkah-langkah Bajet 2022 menerusi https://budget.mof.gov.my/en/survey/rakyat/ and https://budget.mof.gov.my/en/survey/business/. – BERNAMA

Berita Harian X