Khamis, 2 Jun 2022 | 4:57pm
Penduduk Chukai menggunakan sampan di dalam bandar selepas kediaman mereka ditenggelami banjir. - Foto NSTP
Penduduk Chukai menggunakan sampan di dalam bandar selepas kediaman mereka ditenggelami banjir. - Foto NSTP

Projek tebatan banjir perlu dana swasta

KUALA LUMPUR: Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) menilai kaedah pembiayaan dari institusi kewangan untuk menjalankan projek berkaitan sumber air dan tebatan banjir.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata pendekatan itu perlu kerana kos projek terbabit tinggi.

Beliau berkata, peruntukan kira-kira RM392 bilion yang diumumkan kerajaan sedikit, jika dibandingkan dengan Singapura yang membelanjakan dana tinggi hanya untuk membina tembok banjir di negara itu.

"Kerajaan mengumumkan perbelanjaan yang diperlukan kira-kira RM392 bilion dalam tempoh 50 tahun dan ini sebenarnya sangat -sangat sedikit dengan keperluan.

"Contohnya Singapura buat satu inisiatif membina benteng di sepanjang pantai negara itu yang memerlukan SDG100 bilion dan dalam proses penyiapan. Maknanya sekitar RM300 bilion. Itu hanya untuk membuat benteng atau tembok banjir sekeliling Singapura berketinggian kira-kira lima meter.

"Bayangkan Malaysia, kita perlukan lebih lagi kerana pantai kita lagi banyak dan kita juga ada banyak perkara serta aset perlu dibina seperti empangan dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel forum dalam talian bertajuk "Bencana Banjir - Perspektif Pengurusan Sungai, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Malaysia anjuran Institut Perubahan Iklim (IPI) UKM, hari ini.

Zaini yang membentangkan peruntukan sebanyak RM392 bilion kepada Kabinet berkata, kos antaranya bertujuan membina projek bekalan air, tebatan banjir dan hakisan pantai.

Walaupun jumlahnya tinggi, beliau berkata, ia masih memerlukan pembiayaan bagi membantu merealisasikan pembangunan projek berkenaan.

"Saya yang bentangkan kepada Kabinet. Nampak macam banyak dalam tempoh 50 tahun. Sebenarnya sangat sedikit.

"Soalnya macam mana kita nak membiayai dana sebesar itu. Kita buat pelbagai kaedah dan yang penting sekali bagaimana nak jadikan projek bekalan air, projek sumber air dan projek tebatan air termasuk hakisan pantai ini 'bankable' (boleh mendapat pembiayaan dari pelbagai institusi kewangan)," katanya.

Pesisir pantai terhakis kerana ombak kuat dan menjejaskan kediaman penduduk serta kemudahan jalan. - Foto NSTP
Pesisir pantai terhakis kerana ombak kuat dan menjejaskan kediaman penduduk serta kemudahan jalan. - Foto NSTP

Berita Harian X