Rabu, 1 Jun 2022 | 6:23pm
KKM melaporkan 71,471 kes HFMD sehingga Isnin lalu, meningkat 28 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. - Foto NSTP
KKM melaporkan 71,471 kes HFMD sehingga Isnin lalu, meningkat 28 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu. - Foto NSTP

HFMD meningkat 28 kali ganda - KKM

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 71,471 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) sehingga Isnin lalu, meningkat 28 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata peningkatan secara mendadak itu dilaporkan sejak

Minggu Epid (ME) 20/2022.

"Sehingga 30 Mei lalu (ME 22/2022), sebanyak 71,471 kes HFMD dilaporkan, meningkat sebanyak 28 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu iaitu 2,485 kes.

"Bagi tempoh sama tahun 2019, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 kali ganda iaitu dengan 30,489 kes," katanya pada sidang media ketika menghadiri Sesi Townhall Meeting Penyakit HFMD Peringkat Negeri Selangor di Seksyen 13, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu, Dr Noor Azmi berkata, sebanyak 91 peratus kes dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan tujuh peratus dalam kumpulan usia 7 hingga 12 tahun tahun.

"Daripada 1,573 wabak yang dilaporkan, 61 peratus berlaku di taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan 35 peratus pula dilaporkan berlaku di rumah persendirian iaitu 548 wabak.

"Kes HFMD di Selangor juga menunjukkan trend sama dengan trend kebangsaan kerana hampir 30 peratus kes penyakit itu berlaku di negeri ini, manakala negeri lain kurang daripada 12 peratus.

"Sebagai contoh di Selangor iaitu Daerah Petaling melaporkan kes paling tinggi sebanyak 3.8 peratus atau 7,247 kes daripada 20,433 keseluruhan kes HFMD Selangor sehingga 30 Mei lalu.

"Bilangan kes HFMD dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun meningkat sejak awal tahun ini dengan kes mingguan melebihi paras amaran sejak ME 15 dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor membuka Bilik Gerakan HFMD sejak 4 April lalu.

"Selain itu, terdapat 182 kluster HFMD dilaporkan membabitkan 773 kes dengan 83 peratus daripadanya kluster di taska, tadika serta pusat jagaan harian dan pengusaha tadika swasta yang mengikuti program ini secara hidbird," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 691 premis penjagaan kanak-kanak di seluruh negara ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), manakala 146 di tutup secara sukarela.

"Di Selangor pula sebanyak 216 premis ditutup mengikut Akta 342, manakala 21 lagi ditutup secara sukarela," katanya.

Berita Harian X