Selasa, 31 Mei 2022 | 5:34pm
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (dua, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh hari ini.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam (dua, kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Menara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Ayer Keroh hari ini.

TNB beli arang batu AS$3 bilion dari Indonesia

AYER KEROH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memeterai perjanjian import arang batu dengan pengeksport Indonesia membabitkan nilai AS$3 bilion bagi tempoh tiga tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perjanjian itu bertujuan menjamin bekalan arang batu yang mencukupi selain memastikan pembekalan tenaga oleh TNB tidak terjejas.

Nilai kontrak terbabit telah meningkat daripada AS$2.3 bilion tahun lalu berikutan kenaikan mendadak harga bahan berkenaan.

"Pada awal Januari tahun ini, kerajaan Indonesia telah mengumumkan untuk menghentikan sementara eksport arang batu bagi memenuhi permintaan domestiknya sedangkan kira-kira 65 peratus arang batu yang diperlukan TNB diimport dari sana.

"Namun, pada minggu lalu, saya dan pengurusan tertinggi TNB telah ke Indonesia untuk berjumpa dengan pengeksport arang batu. Kita berjaya menandatangani perjanjian selama tiga tahun itu kerana mempunyai hubungan baik dengan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Menara TNB Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC) Ayer Keroh, hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, selain Indonesia TNB turut mendapatkan bekalan arang batu dari Russia dan Afrika Selatan.

TNB yang sedang berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu, kini dalam proses peralihan secara berperingkat termasuk menggunakan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro selain meninjau penggunaan hidrogen.

"Ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan TNB untuk memastikan bekalan elektrik negara stabil, berdaya harap, berpatutan serta tidak membebankan rakyat.

"Setakat ini, pengguna elektrik di negara ini menikmati bayaran bil cukup stabil kerana kerajaan masih memberi rebat dua sen bagi setiap kilowatt jam berbanding negara lain yang mengenakan bayaran surcaj," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Takiyuddin berkata usaha berterusan TNB dalam memodenkan grid nasional telah membawa kejayaan apabila Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) negara berkurangan daripada 150 minit pada 2002 kepada 45.25 minit pada 2021.

Malah, katanya, penambahbaikan turut menjadikan grid elektrik Malaysia sebagai antara yang terbaik di rantau ini selain meletakkan TNB setanding dengan negara maju.

Pencapaian berkenaan disumbangkan oleh margin rizab penjanaan yang tinggi serta sistem grid yang berdaya harap.

"Jaringan talian penghantaran ini juga membolehkan tenaga dibekalkan ke semua pusat beban dengan lancar dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kejadian bekalan terputus," katanya.

Berita Harian X