X
Selasa, 31 Mei 2022 | 12:14pm
Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. - Foto hiasan NSTP
Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. - Foto hiasan NSTP

KPDNHEP Johor siasat 13 stesen minyak

JOHOR BAHRU: Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka berhubung kes kenderaan pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 bersubsidi di negeri ini sejak sempadan negara dibuka 1 April lalu.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata siasatan membabitkan 13 stesen minyak di seluruh daerah ini termasuk dua yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Kes tular di media sosial baru-baru ini membabitkan dua stesen minyak yang mana satu di Skudai," katanya dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial dua gambar memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 di negeri ini.

Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Ia membawa hukuman pada denda maksimum RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi kesalahan kedua dan berikutnya denda maksimum RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, manakala hukuman bagi syarikat, denda maksimum RM2,000,000 dan bagi kesalahan kedua serta berikutnya denda maksimum RM5,000,000.

Berita Harian X