Selasa, 31 Mei 2022 | 10:51am
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

Kurangkan 'blanket' subsidi demi rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyemak semula dan mengurangkan jumlah subsidi 'blanket' atau menyeluruh, khususnya membabitkan bahan api yang kini mencecah RM30 bilion, sebaliknya disalurkan penjimatan itu bagi aktiviti pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata inisiatif subsidi menyeluruh yang dilaksanakan ketika ini dilihat membebankan kewangan negara.

"Menurut satu kajian yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa tahun lalu, subsidi secara pukal ini lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi atau T20 daripada golongan berpendapatan rendah.

"Daripada jumlah subsidi yang diberikan, hampir 50 peratus dinikmati golongan T20. Jadi wajar jika subsidi secara 'blanket' ini dikurangkan jika ia tidak dimansuhkan sama sekali dan penjimatan itu disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. - Foto hiasan NSTP
Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. - Foto hiasan NSTP

"Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk menyalurkan subsidi secara tunai kepada golongan B40 di samping rasionalisasi subsidi dilaksanakan, tetapi sekarang, subsidi petrol dan gas asli cecair (LPG) masih disalurkan secara pukal malah bantuan tunai juga terus dibayar dan memberi tekanan kepada kewangan kerajaan," katanya kepada BH.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika bercakap pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, baru-baru ini berkata Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi 2022 yang mencecah RM71 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah.

Tengku Zafrul berkata, peningkatan subsidi itu menyebabkan kadar inflasi teras lebih rendah pada 2.3 peratus, namun Malaysia sebaliknya bernasib baik kerana mempunyai sumber komoditi dan berbeza dengan negara-negara lain di rantau ini yang tidak berpeluang memperoleh hasil peningkatan harga komoditi bagi menampung impak harga bahan api berkenaan.

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi berpendapat kerajaan perlu segera mempertimbangkan rasionalisasi subsidi bahan api berjumlah RM30 bilion tahun ini untuk disalurkan kepada sektor yang menyumbang kepada kesan pengganda ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya membina sistem pengangkutan awam yang cekap.

Mereka berkata, sistem subsidi di Malaysia sudah ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju, namun belum terlewat bagi kerajaan mengurangkan beban yang ditanggung untuk perbelanjaan bahan api termasuk petrol, diesel dan LPG.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan boleh mempertimbang untuk menyalurkan sebahagian subsidi bahan api untuk memperkasakan sistem pengangkutan, memodenkan sistem rel untuk kargo dan membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) lebih agresif bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berasaskan bahan api fosil pada masa depan.

Mengulas mengenai pelaksanaan subsidi bahan api bersasar, Johari berkata, ia memerlukan pemantauan yang teliti memandangkan inisiatif subsidi berkenaan tidak kalis ketirisan.

"Ada banyak lompang yang boleh dieksploitasi pihak tak bertanggungjawab untuk menikmati subsidi walaupun mereka tidak layak.

"Pada pendapat saya subsidi bersasar perlu dilaksanakan secara terus kepada golongan memerlukan bukan dari segi subsidi bahan api tetapi dari segi bagaimana memastikan mereka mempunyai makanan yang cukup di rumah, boleh menghantar anak ke sekolah dan mempunyai tempat berteduh.

"Subsidi bahan api boleh dikurangkan secara beransur-ansur seterusnya diapungkan mengikut harga pasaran.

"Penjimatan daripada subsidi ini boleh disalurkan terus oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Berita Harian X